KOTA KINABALU - Kira-kira 1,800 penduduk di Sabah Forest Industries (SFI), Sipitang, sekali lagi menggesa kerajaan Sabah menyambung semula bekalan elektrik bagi kemudahan penduduk terutama pelajar dan murid yang masih tinggal di kawasan perumahan itu.
Wakil penduduk SFI, Jeffridin Baudi berkata, terdapat kira-kira 500 terdiri daripada murid sekolah tadika, rendah dan menengah kini terpaksa belajar dalam keadaan bergelap.
Beliau berkata, perkara ini sudah berlarutan selama enam bulan apabila penduduk terpaksa bergantung dengan set generator atau lilin pada waktu malam bagi kemudahan anak-anak mereka belajar.
"Tetapi itu semua memerlukan kos yang tinggi, saya sendiri menggunakan set generator terpaksa membelanjakan wang sebanyak RM1,500 sebulan untuk petrol.
"Itu bagi yang berkemampuan, tetapi bagi yang kurang berkemampuan terpaksa menggunakan lilin itu pun juga memerlukan kos dan bahaya kerana boleh menyebabkan kebakaran.
"Tetapi sampai bila terpaksa bergantung dengan lilin dan sebagainya yang akhirnya akan menyebabkan pelajar di kawasan ini tertekan dan berisiko merosot pembelajaran mereka," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini pada Sabtu.
Jeffridin berkata, selepas masalah penduduk dilaporkan, mereka cuma mendapat maklum balas daripada Pegawai Khas Ketua Menteri bahawa keputusan perlu dibuat selepas mendapat nasihat daripada Peguam Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri.
"Pegawai Khas Ketua Menteri memaklumkan pada saya pada Isnin lalu bahawa selepas Ketua Menteri mendapat input daripada dua individu berkenaan barulah keputusan akan dibuat.
"Jika kedua-duanya tidak dapat memberi jawapan, secara tidak langsung kami terpaksa menunggu dan terus menunggu di mana kini sudah enam bulan penduduk tiada bekalan elektrik," katanya.
Sehubungan itu, Jeffridin sekali lagi merayu kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor supaya dapat melihat masalah yang dihadapi penduduk SFI dan seterusnya memberi kebenaran kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk menyambung semula bekalan elektrik di perumahan tersebut.
"Arahan mahkamah masih terpakai untuk kami tinggal di SFI jadi kemudahan bekalan air dan elektrik sepatutnya masih diterima oleh penduduk di mana kami sanggup membayar tunggakan bil elektrik masing-masing," jelasnya.
Sementara itu, ditanya mengenai masalah tunggakan gaji pekerja kilang berkenaan, Jeffridin yang juga Pegawai Pentadbiran Eksekutif memaklumkan mereka juga masih menunggu gaji yang tertunggak selama lima bulan sebelum ini.
"Kami juga mendesak supaya gaji dan pampasan dibayar sepenuhnya. Kalau betul mahu kami keluar daripada perumahan SFI, gaji dan pampasan perlu dibayar sebab kami masih lagi pekerja SFI dan bukan bekas pekerja.
"Kami hanya diberikan cuti tanpa gaji dan setakat ini kami ada lima bulan gaji yang masih tertunggak," jelasnya.