KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengesan terdapat kandungan berkait isu Palestin di TikTok yang diturunkan oleh pihak aplikasi terbabit.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, dalam isu ini beliau telah berhubung dengan pihak TikTok, namun penjelasan yang diberikan tidak memuaskan.
Iklan
Iklan
"Saya lihat ada beberapa pengguna di TikTok yang membangkitkan isu ini bila konten (kandungan) mereka yang mengandungi perkataan seperti Hamas dan beberapa perkataan lain secara automatik telah diturunkan.
"Ada seorang pengguna menyatakan dia memuat naik status pada jam 1.20 pagi, tapi jam 1.21 pagi ia telah diturunkan kerana kononnya berkait dengan garis panduan komuniti," katanya kepada pemberita selepas himpunan Freedom For Palestine di Dataran Merdeka di sini pada Ahad.
Susulan itu, Fahmi berkemungkinan akan meminta panduan daripada pihak Wisma Putra tentang beberapa perkara mengenai isu terbabit.
Dalam pada itu, beliau turut menerima penjelasan daripada pihak media sosial Facebook atau Meta yang menafikan aplikasi itu tidak membuat sekatan dan seumpamanya.
"Facebook menyatakan mesej itu tidak benar dan bukan daripada mereka," ujarnya.