SHAH ALAM - Derita hidup ratusan ribu pelarian Syria di Lubnan semakin mencengkam susulan musim sejuk melampau yang bakal melanda negara berkenaan tidak lama lagi.
Krisis kemanusiaan yang berlarutan itu menarik perhatian Pertubuhan Syria Care yang saban tahun menghulurkan bantuan bagi menyelamatkan pelarian Islam di sana.
Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, pelarian yang berada di kem serba kekurangan itu berdepan dengan ancaman kematian setiap kali musim sejuk melanda.
Menurutnya, dengan suhu boleh mencapai di bawah paras beku, rata-rata pelarian Islam di negara terbabit kekurangan pakaian musim sejuk malah tidak memiliki keperluan penting lain.
"Tanggapan biasa adalah musim sejuk digambarkan sebagai satu musim yang seronok namun realitinya bagi pelarian Syria kehidupan mereka sebaliknya dan bantuan kita ini sebenarnya dapat untuk menyelamatkan nyawa seseorang," katanya.
Siti Sakinah ditemui Sinar Harian pada Majlis Penutupan Projek Pengumpulan Pakaian Musim Sejuk di Dewan Melati Seksyen 7, di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin.
Menerusi projek ini, Syria Care berjaya mengumpulkan kira-kira 1,500 kotak pakaian sejuk untuk pelarian Syria menerusi projek ‘Warm Their Winter’ setakat jam 12 tengah hari pada Ahad.
Bagaimanapun, pertubuhan itu masih mengharapkan sumbangan orang ramai bagi membantu menyalurkan bantuan bahan bakar (Fueld Aid) dan bantuan kotak makanan asas (OderFood).
Justeru, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan menerusi tabung ‘Warm Their Winter’ menerusi akaun Maybank (562106653575) atau CIMB (8601894560) dengan rujukan ‘sinarwinter’.
Sementara itu, Nik Justin berkata, sumbangan pakaian musim sejuk untuk pelarian Syria berjaya mencapai sasaran ditetapkan dan lebih banyak dikumpulkan berbanding pada tahun sebelumnya.
Namun menurutnya, bantuan kewangan masih lagi diperlukan dan bantuan itu masih boleh disumbangkan lagi menerusi tabung ‘Warm Their Winter’ seperti yang diuar-uarkan sebelum ini
"Sumbangan kewangan adalah mustahak untuk menyediakan keperluan penting kepada mereka termasuk ubat-ubatan selain makanan dan bahan bakar.
"Sumbangan juga secara tidak langsung dapat merancakkan semula ekonomi Syria sekali gus dapat membina semula negara berkenaan," katanya lagi.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Syria Care menjalin kerjasama dengan Sinar Karangkraf untuk membantu masyarakat utara Syria serta Lubnan menerusi Projek Winter Aid 11.0 dengan sasaran sumbangan RM1.3 juta membabitkan tiga aspek bantuan iaitu pakaian musim sejuk, bantuan bahan bakar dan bantuan kotak makanan asas.
Dalam pada itu, Syria Cafe menzahirkan ucapan penghargaan kepada rakan kerjasama utama iaitu Sinar Karangkraf, Min Qalby Foundation dan World Peace Entertainment serta pihak Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3 Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Turut terbabit ialah sukarelawan dari Briged Sukarelawan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Management Science University (MSU), Kolej Poly-Tech Mara cawangan Bangi (KPTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Politeknik Nilai dan Universiti Malaya (UM).