TFC patut dapat bekalan lebih selesa

Iklan
Aksi pemain Terengganu FC, Ivan Mamut meraikan jaringan gol ketika menentang pasukan KL City FC pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Cheras pada Sabtu. - Foto Bernama

TERENGGANU FC (TFC) sepatutnya boleh membawa pulang bekalan lebih selesa berbanding hanya menang 2-1 ke atas Kuala Lumpur (KL) City dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.

Pengendalinya, Tomislav Steinbruckner berkata, beberapa peluang terhidang gagal disempurnakan jentera serangannya dan menyifatkan TFC masih belum selamat apabila saingan masih terbuka menjelang aksi separuh akhir kedua awal bulan depan.

Iklan
Iklan

"Pada pendapat saya, jaringan patut lebih besar kerana kami mempunyai tiga hingga empat peluang terbaik.

"Selepas itu, beberapa kesilapan memberikan gol untuk pasukan lawan.

Iklan

"Semuanya masih terbuka (pada perlawanan kedua), tetapi saya harus mengucapkan tahniah kepada pasukan kerana kami bermain baik kecuali pada beberapa minit tertentu, tetapi secara keseluruhan mengawal perlawanan dan kami perlu bersedia untuk aksi kedua.

"Saya jangkakan KL City akan hadir dengan lebih kuat pada perlawanan kedua terutamanya dengan kehadiran semula kapten, Paulo Josue dan beberapa pemain penting mereka," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.

Iklan

Dalam perlawanan itu, penyerang TFC, Ivan Mamut meletakkan pasukan pantai timur itu di hadapan pada masa kecederaan separuh masa pertama sebelum pemain gantian, Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim menggandakan kedudukan pada penghujung babak kedua.

Skuad The City Boys berjaya mendapatkan gol penting buat KL City menerusi penalti Tchetche pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Dalam pada itu, Steinbruckner mengakui jadual padat yang perlu dihadapi TFC merunsingkannya kerana perlu berdepan Stallions FC pada Khamis dalam aksi Piala AFC dan bertemu Pahang tiga hari kemudian dalam saingan Liga Super.

"Masalah saya ialah mungkin situasi di bangku simpanan tidak seperti saya harapkan.

"Saya tahu siapa pemain dalam kesebelasan utama dan dua atau tiga pemain yang boleh bermain. Pemain yang berada di bangku simpanan juga kurang bermain.

"Ia berkaitan kualiti yang boleh diberikan. Semua pemain bagus, tetapi mereka kurang minit permainan untuk beraksi," katanya.