KUALA LUMPUR - Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menegaskan yang beliau masih belum menerima sebarang cadangan nama individu yang berpotensi dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu FGV Holdings Bhd (FGV).
"Saya tidak menerima sebarang nama...saya juga tidak menerima sebarang cadangan dan tidak tahu bilakah mereka (FGV) akan mengemukakan cadangan itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian pejabat baharu Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) di sini, hari ini.
Laporan sebelum ini menyatakan beberapa nama sudah dikemukakan bagi pertimbangan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan kementerian diterajui oleh Azmin itu telah menolak tiga nama yang dicadangkan oleh lembaga pengarah syarikat tersebut.
Mengulas selanjutnya, Azmin berkata:"Bukan (soal) setuju atau tidak tapi kita kena melihat secara keseluruhannya mengenai agensi-agensi ini kerana ianya memerlukan satu pelan pemilihan yang komprehensif.
"Buat masa ini, keutamaannya adalah untuk kementerian meneliti peranan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan peranan FGV.
"Kita bukan saja (perlu) teliti masalah kewangan Felda tetapi telah minta pengurusan baharu ini mengemukakan satu pelan pemulihan secara menyeluruh yang akan dibentangkan (kepada kerajaan) dalam masa terdekat ini termasuk peranan serta status FGV," katanya.
Menurut Azmin, kementerian itu turut memberi tempoh sebulan kepada Felda bagi menjalankan kajian serta mengemukakan satu pelan pemulihan.
"Pada masa ini, kajian itu masih dalam peringkat awal. Tanpa mengetepikan semua personaliti (lembaga pengarah) terbabit, apa yang saya utamakan bukannya CEO baharu, tetapi kita mahu melihat bagaimana industri itu dapat pulih. Inilah yang menjadi perkara utama.
"Saya mahu melihat pelan pemulihan itu menjelang Februari ini kerana perlu bentangkannya di Kabinet dan seterusnya ke Parlimen. Bagaimanapun, tiada sebarang tempoh akhir ditetapkan bagi (pelantikan) CEO terbabit," katanya. - Bernama