LANGKAWI - Sebuah bot nelayan tempatan kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika sedang leka melakukan aktiviti menunda ikan di kedudukan kira-kira 11.4 batu nautika barat daya Pulau Singa Besar pada petang Sabtu.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Romli Mustafa berkata, bot pukat tunda itu ditahan bersama seorang tekong dan empat kru yang kesemuanya warga Thailand berusia dalam lingkungan antara 26 hingga 58 tahun di zon larangan perikanan.
Menurutnya, penahanan itu dibuat ketika bot ronda Maritim Kedah/Perlis sedang melakukan rondaan operasi Op Aman dan Op Tiris di sekitar perairan Langkawi.
Romli berkata, kes berkenaan disiasat bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti memukat di zon larangan, iaitu di bawah 15 batu nautika dari pantai dan Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan pasport yang sah.
"Kegiatan menunda atau dikenali tarik tepi seperti ini sukar dikesan kerana mereka tidak meninggalkan jejak. Kebiasaannya aktiviti tersebut dilakukan ketika bot ingin melepasi jarak 15 batu nautika daripada pantai,” ujarnya.
Beliau berkata, aktiviti menangkap hasil laut kurang 15 batu nautika daripada pantai boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan terbabit.
"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana nelayan yang melanggar syarat sah lesen kerana ia kesalahan serius selain memudaratkan ekosistem laut,” jelasnya.
Romli juga meminta orang ramai yang ingin membuat sebarang aduan atau menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, agar menghubungi Pusat Operasi Maritim Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera.