JITRA - Polis menahan dua pembantu kedai makan yang merupakan pasangan suami isteri dan merampas dadah disyaki syabu seberat 8.5 kilogram (kg) bernilai RM297,500 pada Rabu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin berkata, suspek lelaki berusia 28 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Changlun dekat sini pada 18 Oktober lalu.
Menurutnya, hasil serbuan ke atas lelaki tempatan beralamat Bukit Kayu Hitam itu menemukan lapan bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi dadah disyaki syabu seberat 8.5kg dalam beg galasnya.
"Lelaki terbabit dan isterinya yang berusia 20 tahun itu dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah sejak setahun lepas,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu,di sini, pada Ahad.
Mohd Taufik memaklumkan, kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine melalui ujian saringan urin.
Beliau berkata, siasatan mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah manakala isterinya tidak mempunyai rekod jenayah.
"Kita percaya syabu seberat 8.5kg ini jika terlepas boleh digunakan seramai 18,000 penagih,"katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan, pihaknya turut membuat sitaan ke atas sebuah kereta Honda Civic bernilai RM150,000 dan barang kemas, RM2,214.
"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta ialah RM449,714,” katanya.
Menurut Mohd Taufik, pasangan suami isteri itu kini direman sehingga 25 Oktober ini untuk siasatan lanjut.