RATU wusyu sensasi negara Tan Cheong Min merangkul pingat emas dalam acara kombinasi nanquan dan nandao wanita pada temasya Sukan Tempur Dunia 2023 di King Saud University di Riyadh, Arab Saudi, pada Ahad.
Juara dunia 2019 yang meraih pingat perak dalam acara tersebut pada Sukan Asia Hangzhou 2022 baru-baru ini, mengungguli saingan selepas mengumpul keseluruhan 19.486 mata.
Pingat perak menjadi milik atlet Uzbekistan Darya Latisheva dengan meraih 19.292 mata sementara gangsa menjadi milik atlet Iran Hanieh Rajabi selepas mengumpul 18.950 mata.
Kem Malaysia juga meraih gangsa dalam acara kombinasi jianshu dan qiangshu wanita menerusi Pang Pui Yee yang mengumpul keseluruhan 19.392 mata dalam saingan final.
Atlet Macau Li Yi merangkul emas dengan meraih 19.479 mata dan perak dimenangi Zahra Kiani dari Iran yang memungut 19.396 mata.
Nasib tidak menyebelahi Tan Zhi Yan yang menamatkan final kombinasi taijiquan dan taijijian lelaki di kedudukan kelima dengan catatan 19.153 mata.
Pada Sabtu, impian wakil negara yang juga juara dunia 2017, Wong Weng Son untuk menghadiahkan pingat tidak kesampaian selepas mengakhiri final changquan lelaki di tempat keempat.
Sebagai rekod, Sukan Tempur Dunia 2023 dari 20 hingga 30 Oktober ini mempertandingkan keseluruhan 16 sukan tempur antaranya aikido, lawan pedang, judo, karate, Muay Thai, sumo dan taekwondo.