Sukan Para Asia Hangzhou 2022 singkap tirai

Iklan
Kontinjen Malaysia memasuki stadium selaku Kontinjen ke-21 diketuai Chef-de-Mission K M Rajendran dan atlet badminton para Muhammad Ikhwan Ramli serta atlet lompat jauh Nani Shahiera Zawawi menggalas tugas bersama membawa Jalur Gemilang pada acara pembukaan rasmi temasya Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di Stadium Sukan Olimpik Hangzhou, China malam Ahad.

TUAN rumah China sekali lagi menampilkan upacara pembukaan yang cukup menakjubkan sempena Sukan Para Asia (APG) edisi keempat selepas 14 hari berakhirnya temasya Sukan Asia 2022, di Hangzhoui malam Ahad.

Berslogankan 'Hearts Meet, Dreams Shine' di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, keunikan ditampilkan tuan rumah menerusi persembahan kebudayaan selain penerapan unsur skrin futuristik memeriahkan suasana stadium yang mampu menempatkan lebih 70,000 penonton.

Iklan
Iklan

Perasmian dimulakan dengan penceritaan tentang kecekalan seorang kanak-kanak perempuan yang mengalami masalah penglihatan, berusaha mengejar cita-citanya menggunakan replika pokok osmanthus sebagai simbolik.

Mereka berarak masuk memperagakan konsep busana kasual tampak ringkas, moden dan elegan dipadankan dengan tudung berkonsepkan batik Malaysia sekali gus menggambarkan golongan atlet para juga tidak ketinggalan dalam menempuh arus modenisasi dan memenuhi elemen kebudayaan.

Iklan

Naib Premier China Ding Xuexiang merasmikan upacara pembukaan penuh gilang-gemilang itu bagi menandakan bermulanya temasya yang disertai lebih 3,500 atlet dari 43 negara.

Perasmian kemudian diselangi dengan perarakan masuk bendera Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC) serta lafaz ikrar oleh wakil atlet serta pegawai pertandingan di hadapan Presiden APC Majid Rashed dan Presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangs (IPC) Andrew Parsons.

Iklan

Upacara perasmian itu dilengkapkan dengan penyalaan kawah api temasya oleh kalangan atlet para tuan rumah dengan menggunakan obor tradisional.

Malaysia menyandarkan harapan kepada 113 atlet yang akan menggalas cabaran negara dalam 14 daripada 22 jenis sukan serta menerusi 104 daripada 564 acara dipertandingkan.

Sebanyak 14 sukan yang disertai kontinjen negara kali ini membabitkan memanah, olahraga, badminton, berbasikal, powerlifting, menembak, renang, ping pong, bola keranjang berkerusi roda, lawan pedang berkerusi roda, tenis berkerusi roda, boccia, bola sepak buta dan boling padang.

Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sebelum ini mengumumkan sasaran 35 pingat secara keseluruhan menjadi buruan kontinjen negara. - Bernama