MARAH betul kawan Merak Jalanan apabila duduk bersebelahan dengan beberapa orang perokok di sebuah kedai mamak.
Ini menyebabkan dia bukan sahaja tidak selesa malah terpaksa berpindah meja kerana tidak tahan dengan bau asap rokok.
Mungkin sebab sudah jam 10 malam, perokok-perokok ini memang tak bimbang langsung dengan kehadiran pihak berkuasa.
Selalunya penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan buat operasi pada sebelah siang.
Mungkin sekali-sekala KKM perlu ubah sedikit strategi dengan melakukan operasi pada malam hari juga supaya golongan perokok ini patuh dengan undang-undang.
Atas sebab itu jugalah, Merak Jalanan berharap sangat Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat (GEG) ini dapat diluluskan oleh Parlimen dengan kadar segera.
Ini kerana RUU ini dapat menyekat golongan belia termasuk pelajar sekolah daripada terjebak dengan tabiat merokok.
Kita juga nak lahirkan generasi yang bukan sekadar tidak merokok tetapi sedar perbuatan mereka bukan sahaja bahaya untuk diri sendiri tetapi melibatkan orang lain juga.
Sudah banyak pihak menyuarakan sokongan mereka terhadap GEG ini.
Tetapi kita faham ada golongan yang terlibat dengan industri yang bernilai berbilion ringgit ini juga berusaha keras menggagalkan usaha kerajaan.
Merak Jalanan harap benar supaya kerajaan tidak tunduk dengan tekanan oleh golongan kapitalis ini.
Ahli-ahli Parlimen juga kena bertanggungjawab dan lebih mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
Mereka juga tidak sepatutnya menyebelahi perokok walau ramai juga dalam kalangan wakil rakyat dalam golongan yang sama.