Jangan biarkan episod duka banjir berulang

Iklan
Gambar hiasan - Foto bernama

BETAPA pantasnya masa berlalu, kita ketika ini bakal memasuki dua bulan terakhir bagi tahun 2023 yang penuh dengan suka dan duka.

Menjelang tibanya bulan November dan Disember, sememangnya negara tidak boleh lari daripada berdepan dengan musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut yang membawa risiko banjir.

Iklan
Iklan

Malahan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) baru-baru ini dilaporkan telah mengeluarkan amaran bahawa Monsun Timur Laut akan melanda negara pada bulan depan.

Semasa tempoh Monsun Timur Laut itu, beberapa siri hujan lebat yang menyeluruh dijangka berlaku terutama di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak.

Iklan

Kebanyakan negeri di Semenanjung diramalkan menerima hujan pada paras purata antara 100 milimeter (mm) hingga 900mm sementara di Sarawak, kebanyakan bahagian dijangka menerima taburan hujan pada paras purata antara 300mm hingga 400mm.

Pada Disember pula, kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia dijangkakan menerima hujan pada purata antara 50mm hingga 900mm manakala di Sarawak, majoriti bahagian diramal menerima hujan pada paras purata antara 250mm hingga 600mm.

Iklan

Bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir, Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 16 Oktober lalu dilaporkan sudah bersiap siaga.

Mindef menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya bersedia mengatur gerak anggota dan asetnya terutama di kawasan berisiko tinggi serta sering dilanda bencana alam akibat fenomena musim tengkujuh.

Selain pihak Mindef, sebanyak 1,144 kenderaan dan jentera pelbagai fungsi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilaporkan bersedia untuk digerakkan ke lokasi kecemasan dan bencana sekiranya diperlukan.

Ia termasuk kenderaan angkut ringan, kenderaan angkut berat, kenderaan marin serta aset udara (helikopter dan dron).

Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Suhaimi Ali @ Ahmad berkata, semua kenderaan dan jentera terbabit telah diperiksa dan menjalani pengujian menyeluruh melalui Program Monsun Timur Laut (MTL) Log Day di seluruh negara pada Sabtu.

Tidak terkecuali, kerajaan-kerajaan negeri juga pastinya sudah bersiap sedia bagi menghadapi segala kemungkinan bencana itu mengambil iktibar daripada peristiwa bah besar pada 2021 yang turut membadai Lembah Klang khususnya Selangor yang padat dengan penduduk.

Banjir besar dua tahun lalu itu meragut banyak nyawa dengan jumlah korbannya dikatakan paling tinggi dalam sejarah bencana banjir di Malaysia.

Lazimnya pada setiap hujung tahun, Monsun Timur laut menyebabkan banjir di negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang tetapi pada waktu tersebut, kejadian luar biasa berlaku apabila ia melanda Lembah Klang yang sebelum ini hanya mengalami banjir kilat.

Hujan lebat berterusan selama dua hari mengakibatkan Hulu Langat, Kuala Langat, Shah Alam, Klang, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Petaling dan Kuala Lumpur di Lembah Klang serta Bentong, Mentakab dan Temerloh di Pahang ‘tenggelam’.

Impaknya ibarat dibadai tsunami apabila puluhan ribu mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan lebih menyayat hati puluhan keluarga hilang tempat berteduh apabila rumah mereka dihanyutkan arus deras.

Ribuan kenderaan pula terdampar serta musnah ditenggelami banjir selain banyak premis perniagaan turut menanggung kerugian besar.

Justeru, jangan biarkan episod duka angkara banjir 2021 berulang.

Amaran yang telah dikeluarkan pihak berkuasa sepatutnya diberi perhatian oleh penduduk terutama di kawasan berisiko banjir.

Ia kerana, sebelum ini dilaporkan terdapat kes penduduk enggan berpindah selain ada yang berpindah pada saat akhir hingga berlaku kes terperangkap.

Persediaan awal perlu dilakukan bukan sahaja untuk meminimumkan kesan kemusnahan harta benda tetapi lebih penting untuk menyelamatkan nyawa mereka.

* Raiham Mohd Sanusi ialah wartawan Sinar Harian Nasional