BANDA ACEH - Mungkin ramai yang beranggapan mengembara ke Tanah Tinggi Gayo atau Gayo Highlands di Aceh, Sumatera dengan basikal secara solo adalah idea gila dan tidak masuk akal.
Apa tidaknya, ia bukanlah satu perkara yang mudah kerana pelbagai cabaran perlu dihadapi termasuk bentuk muka bumi tanah tinggi dan cuaca selain memerlukan kekuatan fizikal serta mental yang kuat.
Namun Azrina Asmawi, 36, dari komuniti berbasikal Srikandi Bike Explorer dari Klang berjaya membuktikan idea gila itu boleh menjadi kenyataan sekiranya mempunyai keinginan dan semangat tinggi.
Wanita yang berasal dari Ipoh, Perak itu nekad memulakan ekspedisi solonya pada 20 Ogos hingga 9 Oktober, bermula dari Banda Aceh hingga ke Tanjung Balai Asahan melalui jalan lintas Gayo Highlands.
Azrina menggunakan basikal jenis Winspeed LongRiders III 26" dengan kekuatan groupset Shimano 2x11 untuk menawan tanah tinggi itu selama 51 hari.
Katanya, idea melakukan ekspedisi itu tercetus daripada pengalaman dua sahabatnya, Ija Zahri dan Abdul Rahim Mahmudin yang pernah melakukan ekspedisi berbasikal di tanah tinggi itu.
"Daripada cerita Ija dan Abdul Rahim itu, saya teruja untuk menawan Tanah Tinggi Gayo dengan berbasikal tetapi secara solo.
"Lagipun saya ingin membuat kelainan di samping menambahkan pengetahuan dan ini pertama kali saya berbasikal secara solo di negara asing,” katanya.
Tanah Tinggi Gayo memang agak asing dalam dunia pelancong luar tetapi memiliki keindahan alam semulajadi yang masih belum terusik malah turut dikenali sebagai Negeri Di Atas Awan atau Negeri Seribu Bukit.
"Gayo Highlands adalah destinasi 'rare' buat individu yang sukakan cabaran!” jelasnya.
Paru-paru dunia
Gayo Highlands meliputi Kabupaten Bener Meriah, Gayo Lues, Aceh Tengah dan Aceh Tenggara.
Jalur tanah tinggi ini merupakan tulang belakang Bukit Barisan yang membentang sepanjang Pulau Sumatra, membelah belantara Gunung Leuser yang dikenali sebagai 'paru-paru dunia' kerana menjadi penyumbang 5 peratus oksigen dunia.
Beliau memberitahu, tanah tinggi memberi kelebihan kepada daerah ini untuk menghasilkan antara tanaman kopi terbaik dunia sejak zaman Belanda.
Ujarnya, selain kopi, tanaman kentang, bawang, buah keras, kayu manis, pati minyak serai, koko, pinus dan pelbagai lagi hasil pertanian menjadi sumber ekonomi penduduk.
"Suku Gayo, suku Alas merupakan antara suku yang ada di Gayo Highlands, sebuah bangsa Melayu Proto atau Melayu Tua yang memiliki bahasa daerah dan juga tulisan aksaranya tersendiri.
"Pegawai muzium Gayo yang ditemui iaitu Haji Akbar menceritakan, sebelum wujudnya tulisan jawi, mereka menggunakan aksara Gayo dalam penulisan.
"Akan tetapi budaya, adat, makanan, cara berpakaian dan hasil tanaman mirip orang Melayu di Malaysia,” tambahnya.
Tinggalan sejarah yang masih utuh adalah dari kerajaan Raja Linge.
Mempunyai Makam Diraja yang usianya lebih 1,400 tahun.
Kerajaan ini suatu masa dahulu punyai mata wang tersendiri.
Beri kepuasan
Pemandangan indah dan permai kehidupan masyarakat kampung sepanjang di Gayo Highlands memberi satu kepuasan kepada Azrina walaupun perlu menghadapi tanjakan bukit bergradien hampir 30 peratus.
Percaya atau tidak, jumlah ketinggian yang didaki untuk ekspedisi ini hampir 8,000 meter dengan puncak tertingginya adalah di Pantan Cuaca setinggi 1,980 meter dari paras laut.
"Antara tempat yang menjadi tarikan untuk dikunjungi adalah Takengon terletak di Kabupaten Aceh Tengah, Kecamatan Lut Tawar.
Takengon yang berketinggian 1,200 meter dari paras laut yang memiliki sebuah danau air tawar atau lebih dikenali sebagai Danau Lut Tawar yang terbentuk dari sesahan atau gerakan permukaan bumi berabad yang lalu,” ujar Azrina.
Keindahan Takengon pula, katanya, sukar diungkapkan dengan kata-kata.
"Di Takengon terdapat Gua Loyang Mendale yang menemukan fosil rangka manusia berusia lebih 7,500 tahun.
"Danau Lut Tawar yang dikelilingi pergunungan persis berada di New Zealand memberi rona indah untuk diabadikan melalui lensa kamera.
"Antara puncak bukit yang boleh menikmati pemandangan atas danau adalah Pantan Terong dan Bur Telege,” ceritanya.
Sepanjang perjalanan yang penuh mencabar dengan hutan pinus, hutan tebal dan jalan yang berbukit bukau, pengembara berani ini sentiasa disantuni baik oleh penduduk kampung untuk beri izin menumpang bermalam.
Antaranya Kampung Owaq, Kampung Ise Ise, Kampung Pantan Cuaca, Kampung Kota Rikit Gaib, Kampung Putri Betung dan Kampung Kute Deleng Megakhe.
Menurut Azrina, banyak pemandangan indah dan menarik perhatian yang tidak dapat digambarkan dengan lensa kamera tetapi terpahat di memorinya sepanjang berbasikal di Tanah Tinggi Gayo.
Kata Azrina, lebih manis apabila kedatangannya sentiasa disambut mesra, pulang pula seperti keluarga.
"Keindahan alam dan santunnya orang suku Gayo dan suku Alas memberi kenangan yang cukup indah, walaupun berkayuh sendirian tanpa teman, tapi tak pernah sunyi,” tambahnya.
Berikut antara daerah yang dilalui Azrina sepanjang perjalanan berbasikal solo:
- Simpang Balek, Bener Meriah: 1,200 mdpl
- Takengon: 1,200 mdpl
- Owaq: 400 mdpl
- Ise Ise: 800 mdpl
- Puncak Gudang: 1,500 mdpl
- Pantan Cuaca: 1,980 mdpl
- Rikit Gaib: 900 mdpl
- Blangkejeren: 1,000 mdpl
- Kampung Agusen: 1,200 mdpl
- Putri Betung: 800 mdpl
- Taman Nasional Leuser, Ketambe: 400 mdpl
- Kutacane: 170 mdpl
(mdpl= meter dari paras laut)