WAKIL khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke wilayah Palestin, Francesca Abanese memberi amaran, situasi di Gaza sudah melampaui bencana kemanusiaan.
Beliau mendesak gencatan senjata dikuatkuasakan segera, bagi membolehkan aktiviti bantuan kepada penduduk Palestin dipergiat.
Menurut Albanese, walaupun lebih 20 trak bantuan sudah menyeberang sempadan, namun bekalan itu disifatkan tidak mencukupi.
"Apa yang diperlukan adalah gencatan senjata, yang akan membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar, melebihi 20 trak bantuan yang boleh dihantar," katanya.
Albanese turut mengkritik komuniti antarabangsa, berhubung reaksi terhadap konflik Israel dan Hamas.
Beliau mendakwa ada kalangan pemimpin dunia takut untuk meminta Israel menamatkan serangan ke atas Gaza.
"Ini adalah kegagalan epik, komuniti antarabangsa, dari pandangan kemanusiaan, politik dan diplomatik, kerana anda saksikan ada kalangan pemimpin cemas untuk menegur, tetapi mereka mempertahankan tindakan Israel atas alasan mempertahankan diri.
"Tetapi mereka juga katakan undang-undang antarabangsa perlu dihormati. Tetapi ini tidak menghormati undang-undang antarabangsa," katanya.
Menurut Albanese lebih 4,300 individu termasuk 1,500 kanak-kanak terbunuh terkorban dalam serangan Israel ke atas Gaza dalam tempoh dua minggu. - AWANI