SHAH ALAM - Rakyat Palestin yang terselamat di Gaza memerlukan jutaan bantuan pek makanan sedia dimakan dan botol minuman bagi meneruskan kehidupan selepas terputus bekalan akibat serangan bom tentera Israel.
Pengurus Pusat Operasi Kecemasan Bulan Sabit Merah Mesir, Lotfy Soliman Gheith berkata, ia menjadi keutamaan memandangkan rakyat di negara itu kini tiada kemudahan memasak apabila kehilangan tempat tinggal dan air bersih.
"Di Gaza kini tiada air bersih, tiada makanan, tiada elektrik, sumber tenaga lain juga terhad dan infrastruktur tidak lagi berfungsi sepenuhnya. Secara purata setiap orang memerlukan sekurang-kurangnya dua botol air minuman satu liter setiap hari.
"Memang keperluan ubat-ubatan dan peralatan perubatan amat mendesak tapi air serta makanan juga amat penting bagi memastikan mereka yang selamat boleh terus hidup,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Loffy Soliman, ratusan lori dan trak membawa bantuan barang bantuan berbaris panjang di laluan menuju lintasan Rafah sejak dua minggu lalu bagi memasuki Gaza meskipun tidak mengetahui bila giliran diberikan kebenaran untuk berbuat demikian.
Ujarnya, pertubuhan itu memfokuskan 500,000 penduduk yang sedang mencari perlindungan di Rafah dengan keperluan satu juta botol minuman sehari.
"Kalau dicampur 1.5 juta orang yang ada di bahagian lain di dalam Gaza, jelas kita memerlukan berbilion bekalan botol air minuman pada masa kritikal ini kerana kami menjangka perang akan berlarutan.
"Sekatan untuk menghantar bantuan ke Gaza amat ketat dan situasi tersebut paling teruk. Tak pernah saya alami situasi sebegini sepanjang terlibat dalam operasi bantuan kepada mangsa konflik Palestin-Israel sejak 2008,” jelasnya.
Menurut beliau, petugas Bulan Sabit Merah tidak dibenarkan mengiringi lori dan trak bantuan masuk ke dalam Gaza, sebaliknya hanya setakat pusat pengumpulan barang bantuan di bandar Al Arish, kira-kira 45 kilometer dari lintasan Rafah.
Ujarnya, apabila melepasi sempadan Rafah, muatan terpaksa dipindahkan ke lori Bulan Sabit Merah yang didaftarkan di Gaza kerana pihak berkuasa tidak membenarkan lori dari Mesir meneruskan perjalanan untuk pengagihan barang ke wilayah tersebut.
"Pihak kami berasa lega kerana 40 lori dengan muatan ubat-ubatan dan makanan milik Bulan Sabit Merah dibenarkan masuk ke Gaza pada Sabtu dan Ahad lalu walaupun bantuan itu amat kecil bagi dua juta penduduk Gaza, tapi itulah saja kebenaran yang diberikan kepada kami pada masa ini.
"Orang ramai yang ingin membantu rakyat Palestin boleh menghantar sumbangan melalui akaun Muslim Care Malaysia (MCM) 564490211159 (Maybank) dan 14014010147470 (Bank Islam) serta hantarkan slip pindahan wang ke talian Hotline MCM di 011-50050035,” katanya.