SHAH ALAM - Pengurusan masjid disaran meningkatkan keberkesanan komunikasi dengan menjelaskan secara telus ketika timbulnya sebarang keraguan dalam kalangan kariah, bagi mengelak daripada berlakunya sebarang tanggapan buruk dan fitnah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, masjid perlu dipelihara dengan sebaiknya, untuk itu pengurusan masjid perlu efisien dalam aspek penyampaian terhadap kariah masing-masing.
"Untuk elak perkara ini daripada berlaku (timbul fitnah dan prasangka), pihak pengurusan dan jawatankuasa masjid disaran supaya memastikan kewangan masjid diurus dengan baik.
"Ini bermaksud diuruskan mengikut tata kelola, garis panduan dan peraturan-peraturan kewangan berkuatkuasa serta ditadbirkan secara beramanah, telus, adil dan beretika," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Program Pembanterasan Rasuah Komuniti Masjid Bersama Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Masjid Wilayah Persekutuan, pada Ahad.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Datuk Muhamad Fauzi Husin @ Che Mamat dan Pengarah Jawi Datuk Mohd Ajib Ismail.
Hakimah yang membaca ucapan perasmian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Nai'm Mokhtar berkata, pengurusan kewangan adalah perkara penting diberikan perhatian oleh pentadbir masjid dan surau.
"Selain mengimarahkan, aspek integriti dan tata kelola pengurusan kewangan juga menjadi perkara penting yang mesti diberikan perhatian oleh pentadbir masjid dan surau.
"Aspek integriti pengurusan dan tata kelola kewangan masjid mesti berada pada tahap yang paling memuaskan. Tiada kompromi dalam soal ini," katanya.
Pada penghujung program, berlangsung lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat di Wilayah-Wilayah Persekutuan dipimpin oleh Pengerusi Masjid Zaid Harisah, Mohd Aizul Adnan sambil disaksikan Muhamad Fauzi.