IJOK - Sekumpulan samseng bertindak liar dengan cuba menggagalkan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika menahan sebuah lori yang membawa lebih muatan, di sini pada Sabtu.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 petang selepas lori terbabit ditahan oleh anggotanya menerusi operasi Op Patuh Khas.
Menurutnya, semasa pemeriksaan hendak dijalankan, seramai 20 hingga 30 lelaki tempatan datang membuat gangguan dengan menghalang dan cuba menggagalkan tindakan penahanan lori terbabit.
"Semakan awal mendapati lori terbabit memiliki kesalahan aktif yang belum selesai," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, susulan itu, satu laporan polis telah dibuat JPJ di Balai Polis Kuala Selangor untuk tindakan lanjut, manakala lori terbabit telah disita.
Operasi pada Sabtu itu turut mengesan sebuah lori turut dikesan membawa muatan melebihi 108 peratus di Sungai Buloh, Selangor.
Tegasnya, JPJ akan terus melaksanakan pemantauan dan mengambil tindakan tegas ke atas kenderaan berat terutamanya yang membawa lebih muatan melebihi 70 peratus iaitu dikategorikan paling berisiko mengakibatkan kegagalan fungsi teknikal dan sistem brek serta peningkatan kadar kemalangan maut dan kerosakan jalan raya.
"JPJ mengalu-alukan untuk orang ramai membuat aduan berhubung kesalahan lebih muatan ini dan menasihatkan syarikat dan pemandu kenderaan komersial untuk sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan ekosistem jalan raya sentiasa selamat kepada pengguna jalan raya lain.
"JPJ akan meneruskan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan-peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) bagi membudayakan keselamatan pengguna jalan raya," ujarnya.