Dua pemandu lori ditahan bersama 5,400 liter diesel

Iklan
Anggota penguatkuasa KPDN Pulau Pinang memeriksa tangki pada lori yang disita pada Ahad.

GEORGE TOWN - Dua pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan diesel di dua buah stesen minyak di Juru dan Simpang Ampat pada 22 Oktober lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S Jegan berkata, kedua-dua pemandu berusia lingkungan 40-an itu ditahan dalam Ops Tiris yang dijalankan sembilan pegawai KPDN Pulau Pinang antara jam 4.45 pagi hingga 7.30 pagi Ahad.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil tangkapan tersebut, KPDN Pulau Pinang menyita 5,400 liter diesel dan beberapa rampasan lain bernilai keseluruhan RM52,709.

"Selain diesel, kita turut menyita dua buah lori, tiga set 'motor pump and hose set', enam tangki minyak dan dua telefon bimbit.

Iklan

"Kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Iklan

"Sementara bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

"Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Kata beliau, serbuan dijalankan hasil maklumat yang diperoleh daripada Unit Risik KPDN Pulau Pinang.

"Semasa serbuan dijalankan anggota pasukan berjaya menahan kenderaan tersebut.

"Pemeriksaan awal menemui enam unit tangki simpanan berkapasiti 1,000 liter yang digunakan untuk mengisi minyak diesel," katanya.

Katanya, dalam operasi kedua pula, ia dijalankan di Simpang Ampat pada jam 7.30 pagi, hari sama.

"Kita cuba menahan sebuah lori berwarna putih yang didapati dalam keadaan mencurigakan sedang mengisi minyak diesel. Bagaimanapun, pemandu lori berkenaan bertindak agresif melarikan diri lalu merempuh kenderaan kita.

"Hasil bantuan polis dan Unit Risik KPDN, kita berjaya menahan suspek dan lori tersebut.

"Hasil pemeriksaan menjumpai tiga buah tangki minyak diesel berkapasiti 1,000 liter di dalam lori tersebut," katanya.

Jegan berkata, kedua-dua tangkapan adalah lelaki tempatan dan kini ditahan bagi siasatan lanjut.

"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua pemandu tersebut menggunakan kenderaan yang diubah suai untuk tujuan penyelewengan," katanya lagi.

Beliau turut memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi kerana tindakan tegas akan diambil.

Sebarang maklumat atau aduan berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi, orang awam boleh menyalurkannya di Call Centre di talian 1 800 886 800 atau WhatsApp KPDN di 019-279 4317.