KEJAYAAN meraih gelaran pertama Jelajah Dunia BWF di Terbuka Denmark 'membuka selera’ beregu utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk terus mengejar kegemilangan musim ini.
Menurut Aaron, walaupun dikecewakan terutama di pentas final sebanyak enam kali sejak digandingkan pada 2017, namun ia tidak pernah mematahkan semangat sebaliknya tetap percaya bahawa satu hari nanti mereka akan mendaki podium tertinggi Jelajah Dunia.
"Gandingan kami sudah lama dan akhirnya dapat juga muncul juara Jelajah Dunia. Sudah tentu kita mahu terus menang lebih banyak lagi kejuaraan,” katanya.
Gandingan negara yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan muncul juara Terbuka Denmark selepas mengalahkan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dari Indonesia 21-13, 21-17 dalam perlawanan akhir di Jyske Bank Arena.
Sejak mula digandingkan enam tahun lepas, Aaron-Wooi Yik yang kini menduduki ranking keempat dunia, sering dikecewakan terutama di pentas final dan kejayaan kali ini menambah koleksi mereka selepas meraih gelaran dunia di Tokyo pada 2022.
Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky jelas gembira dengan pencapaian Aaron-Wooi Yik yang mampu bangkit semula selepas tersingkir awal pada Terbuka Artik, tunduk kepada rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun 21-11, 21-18 minggu lepas.
Menurut Rexy, kejayaan itu pastinya meningkatkan keyakinan anak buahnya untuk merangkul lebih banyak gelaran dalam masa akan datang.
Pasangan negara itu akan menyertai Terbuka Perancis di Rennes pada 24 hingga 29 Oktober ini. - Bernama