30 pelajar ditahan edar dadah

Iklan
Muhamad Zaki menunjukkan dadah yang dirampas ketika Ops Tapis Khas selama lima hari yang berakhir Ahad.
KOTA BHARU - Mahu kehidupan lebih mewah, penceraian ibu bapa dan kurang perhatian antara faktor pelajar terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah terutama pil kuda.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, seramai 30 pelajar ditahan bermula Januari hingga bulan ini terlibat dalam kes itu.

"Mereka ini mungkin mudah terpesona dengan kemewahan selain perpecahan keluarga," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, faktor itu turut memberi peluang kepada sindiket mempengaruhi pelajar terbabit untuk menjadi pengedar secara kecil-kecilan dan kemungkinan secara serius terutama di sempadan dan kawasan yang ada masalah sosial.

Muhamad Zaki memberitahu, kebanyakan pelajar yang ditahan membabitkan kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12/2 ADB 1952.

Iklan

Bagaimanapun katanya, siasatan terhadap suspek yang memiliki jumlah dadah yang banyak dipercayai mengedar dalam kalangan rakan-rakan.

"Kita sudah mengambil tindakan bersama pejabat pendidikan melalui beberapa perjumpaan dan mesyuarat dan saya percaya pihaknya memberi komitmen yang baik dalam dalam hal ini.

Iklan

"Pihak sekolah boleh menyalurkan maklumat mengenai perubahan tingkah laku atau melihat gaya hidup berbeza untuk pemantauan dan tindakan," katanya.

Muhamad Zaki juga percaya maklumat masyarakat penting bagi membantu polis membanteras masalah itu secara lebih berkesan.

Sementara itu, pada sidang media sama, beliau memaklumkan seramai 254 ditahan atas pelbagai kesalahan melalui Ops Tapis Khas selama lima hari yang berakhir Ahad.

Pelbagai kesalahan dikesan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985)