MITI semak semula Akta Perdagangan Strategik 2010 - Tengku Zafrul

Iklan
Tengku Zafrul - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan (MITI) sedang giat menyemak semula Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010) dengan tujuan untuk menyelaraskan peraturan, memastikan kawalan barangan dan teknologi yang strategik yang disesuaikan dengan segmen tertentu industri.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, semakan semula ini juga akan melihat sebarang aspek Pengurusan Perdagangan Strategik (STM) yang mungkin secara tidak sengaja menghalang pertumbuhan termasuk dalam industri pertahanan.

Iklan
Iklan

"Kepantasan kemajuan teknologi, walaupun ia baik, namun juga memberikan cabaran.

"Seperti yang diketengahkan menerusi penyelidikan mengenai Kawalan Teknologi Baru Muncul dan Perdagangan (2020), evolusi pesat teknologi dwi-guna menekankan keperluan untuk mengimbangi penerajuan teknologi, daya saing ekonomi serta keselamatan negara.

Iklan

"Walaupun kawalan perdagangan ke atas teknologi ini boleh memupuk keamanan dan mengurangkan ancaman keselamatan, dasar yang terlalu ketat mungkin secara tidak sengaja menghalang pertumbuhan ekonomi, menyekat daya saing dan inovasi,” katanya dalam ucapan beliau pada Sidang Kemuncak Perdagangan Strategik Malaysia (MySTS) 2023 di sini hari ini.

Dalam konteks wawasan ekonomi Malaysia yang padu, Tengku Zafrul berkata, penting bagi kerajaan untuk meneraju dengan rangka kerja STM yang mantap, dan rangka kerja ini mesti komprehensif, kukuh dari segi undang-undang, dan disokong oleh kerjasama antara agensi.

Iklan

"Walaupun keselamatan kekal diutamakan, kita juga mesti memastikan kedudukan kita sebagai hab transit dan pindah kapal utama di rantau ini tidak terjejas,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, aktiviti perdagangan yang sah perlu berkembang tanpa dihalang oleh dasar berkaitan keselamatan, dan misi berterusan MITI adalah untuk mencapai keseimbangan antara keperluan keselamatan serta kemudahan perdagangan, yang sentiasa sejajar dengan amalan STM terbaik global.

"Usaha kita menampakkan hasil. Malaysia bukan sahaja telah meningkatkan kapasiti perdagangannya tetapi juga memupuk reputasi sebagai persekitaran perdagangan yang neutral, disokong oleh kedaulatan undang-undang yang kukuh.

"Kita menangani kebimbangan mengenai perkembangan pesat sambil memupuk budaya pematuhan dalam industri.

"Dengan kerjasama rakan kongsi kita, Malaysia secara konsisten dapat menghalang percubaan untuk memperbanyakkan barangan dan teknologi sensitif yang boleh, contohnya digunakan dalam senjata pemusnah besar-besaran (WMD),” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul juga mengumumkan penubuhan Komuniti Kawalan Perdagangan Strategik Malaysia (MYSTCC), yang diterajui oleh industri, dengan matlamat untuk merapatkan jurang antara komuniti perniagaan, profesional dan pakar dalam domain STM.

"Komuniti ini akan memainkan peranan penting dalam menyokong MITI dan agensi rakan kongsi kami untuk melaksanakan STA 2010 secara berkesan.

"Pada fasa awalnya, MYSTCC akan memberi tumpuan kepada mendidik pihak berkepentingan industri tentang pematuhan perdagangan strategik, tadbir urus, dan juga akan menawarkan pandangan untuk pembangunan dasar dalam STM,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sidang kemuncak MySTS menyokong dedikasi kerajaan terhadap STM dan berfungsi sebagai platform penting untuk dialog mengenai perkembangan terkini dan amalan terbaik global dalam mencegah percambahan pesat WMD.

"Bagi tempoh lima hari akan datang, sidang kemuncak itu akan menawarkan pelbagai program, termasuk Capaian Industri mengenai Perdagangan Strategik, Forum Perdagangan Strategik Wanita, Forum Kawalan Eksport Asia Tenggara, dan pelbagai mesyuarat dua hala.

"Program capaian hari ini menekankan tentang integrasi kemampanan dan keselamatan dalam pengurusan rantaian bekalan barangan strategik dan teknologi.

"Penting bagi elemen ini untuk sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya. - Bernama