Nik Sharif enggan Penyu 'menangis' lagi

Iklan
Nik Sharif (tengah) bersama rakan sepasukan enggan berasa selesa dengan kelebihan satu gol apabila akan melayan kunjungan KL City dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Kuala Nerus awal bulan depan. - Foto FB Terengganu FC

KEKALAHAN di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC menerusi penentuan sepakan penalti pada separuh akhir Piala FA beberapa bulan lepas, masih segar dalam ingatan penyerang Terengganu FC Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim.

Beliau yang meledak gol kemenangan ketika skuad Penyu menewaskan KL City 2-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, Sabtu lepas berkata, episod mengecewakan itu tidak harus berulang.

Iklan
Iklan

Justeru, katanya, beliau dan rakan sepasukan akan menggunakan segala kelebihan yang ada ketika menerima kunjungan juara 2021 itu bagi pertembungan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, 3 November ini.

"Bagi saya secara peribadi kita tidak mahukan air mata lagi selepas pada Piala FA kita kalah dengan mereka menerusi penalti, kami betul-betul akan berjuang sehabis baik untuk rebut slot final," kata pemain berusia 26 tahun itu.

Iklan

Sementara itu, Nik Muhammad Sharif gembira akhirnya dapat membantu pasukan mencatat kemenangan selepas Terengganu dan KL City seri dalam dua aksi Liga Super masing-masing tanpa jaringan di Kuala Nerus pada Mac dan 3-3 di Cheras, Julai lepas.

"Ini kali keempat kita lawan KL City tahun ini, sebelum ini semuanya seri (kecuali tewas penalti) dan ini kali pertama menang, syukur sangat walaupun kami tidak berada pada tahap terbaik," kata bekas pemain Selangor FC itu.

Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata pasukan tidak boleh berasa selesa dengan bekalan satu gol dan cabaran yang bakal diberikan KL City, yang pasti akan kembali diperkuat dengan kehadiran Paulo Josue dan Romel Morales pada aksi separuh akhir kedua.

Sebelum bermain pada separuh akhir kedua Piala Malaysia, Terengganu akan menentang kelab Filipina Stallion Laguna pada aksi Kumpulan G Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Kuala Nerus, Khamis ini dan berkunjung ke Kuantan bagi aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC, Ahad ini.

Terengganu pernah menjulang Piala Malaysia pada 2001 sebelum misi merangkul kejuaraan kedua tidak kesampaian apabila tewas kepada Perak 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir edisi 2018 yang merupakan kali terakhir skuad Penyu beraksi di pentas final. - Bernama