Dr Musa mohon maaf, nafi label peserta himpunan sebagai Zionis

Iklan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Musa

SHAH ALAM - Penganjur himpunan aman 'Freedom for Palestine' menafikan dakwaan terdapat peserta dilabel sebagai 'Zionis' kerana membawa plakad yang memaparkan wajah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai 'syaitan'.

Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), Datuk Dr Musa Mohd Nordin menjelaskan, pihaknya hanya mempertahankan pendirian badan bukan kerajaan (NGO) itu yang menganggap plakad mahupun gambar yang memaparkan wajah Netanyahu sebagai satu tindakan provokasi.

Iklan
Iklan

Malah katanya, peraturan yang diambil selaras dengan arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar perhimpunan itu berada dalam sempadan kemanusiaan.

"Plakad tersebut tidak menggambarkan adab dalam VPM yang mana kami mengekalkan standard, meskipun ketika beremosi.

Iklan

Sebelum ini tular di media sosial luahan kekecewaan terhadap penganjuran himpunan yang berlangsung di Dataran Merdeka pada Ahad ekoran segelintir peserta didakwa disamakan seperti rejim Zionis.

Ketika perhimpunan, segelintir peserta antaranya membawa plakad memaparkan wajah Netanyahu dengan slogan ‘Netanyahu Penjenayah Perang’.

Iklan

Dalam pada itu Musa berkata, segelintir pihak gagal memahami gambaran lebih besar dalam konflik Israel-Palestin sekali gus membangkitkan kemarahan mereka.

Sehubungan itu beliau turut menafikan tentang larangan terhadap peserta yang melaungkan takbir.

Ini kerana Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin dan Nurul Izzah Anwar turut melaungkan takbir ketika berucap.

"Bagi seluruh pihak VPM, kami memohon maaf terhadap segala kekurangan kami.

"Sebagai NGO dan rakyat Malaysia, kita mesti sentiasa bersatu-padu menyokong dan mengarusperdanakan perjuangan saudara kita di Palestin sehingga terbentuknya sebuah negara Palestin yang merdeka," katanya.