PELAKON dan pengarah terkenal, Ellie Suriaty Omar meluahkan rasa kecewa dengan perhimpunan Solidariti Palestine yang berlangsung pada Ahad di Dataran Merdeka.
Menyifatkan perhimpunan itu mengelirukan rakyat Malaysia yang turun untuk memberi sokongan terhadap penduduk di Gaza yang dizalimi Israel dan tenteranya tetapi perkara sebaliknya yang telah berlaku.
"Ternyata perhimpunan tersebut adalah cubaan untuk bermain dengan minda serta akidah rakyat Malaysia terhadap pendirian teguh kami semua yang menyokong Palestine di Gaza.
"Mengapa perkataan Israel atau Zionis tidak keluar dari mulut speakers yang berucap? Siapa yang di tuduh menzalimi rakyat Palestine di Gaza itu sebenarnya?" luahnya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Bahkan wanita berusia 53 tahun itu turut meluahkan rasa hairan apabila rakyat Malaysia yang datang dan menunjukkan solidariti telah dikecam berperangai seperti Israel.
"Seorang rakyat Malaysia yang membawa plakad mengutuk Netanyahu (Perdana Menteri Israel) telah dirampas plakadnya malah di kutuk berperangai Zionis Israel.
"Rakyat dilarang melaungkan Allahuakbar, kononnya nak menjaga hati non - Muslim?? Akidah kamu letaknya di mana wahai penganjur?" ujarnya yang turut tidak bersetuju dengan perangan dua penyanyi yang kelihatan bergelak ketawa semasa menyertai perhimpunan itu.
Rata-rata pengikut Instagram Ellie turut bersetuju dengan perkongsian itu dan mempertikaikan keputusan penganjur yang melarang menyebut perkataan Allahuakbar dan turut menempelak mereka yang hadir sebagai Zionis.
Terdahulu, Ellie menyertai perhimpunan itu bersama adik dan anaknya.
Sebelum itu, Ellie turut sama menyertai perhimpunan bantahan rakyat Malaysia di hadapan Kedutaan Amerika pada Jumaat lalu.