MELAKA - Isu peningkatan populasi babi hutan di negeri ini yang sering kedengaran di media sosial dan bibir media tahun ini membayangi laporan mengenai usaha kerajaan negeri membanteras haiwan perosak yang menjadi mimpi gelap rakyat terutama golongan petani.
Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka pada November menjelaskan pihaknya berjaya menghapuskan lebih 400 ekor babi hutan setahun, angka didakwanya jauh lebih banyak daripada operasi penghapusan dijalankan kerajaan terdahulu.
Bernama menemubual beberapa petani yang terkesan akibat gangguan babi hutan yang mana menurut mereka upah RM50 seekor perlu dikeluarkan mereka bagi menembak seekor babi hutan dan usaha Norhizam itu amat membantu menjimatkan kos operasi mereka selain menjamin keselamatan rakyat yang terkesan dengan angkara haiwan itu.
Bagaimanapun, Norhizam bagaikan menembak kakinya sendiri melalui sebuah akbar berbahasa Inggeris apabila mendakwa sebab peningkatan populasi babi hutan di negeri ini adalah akibat babi hutan dari Sumatera, Indonesia berenang mencari habitat baharu di sini.
Dakwaan Norhizam itu bercanggah dengan kenyataan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari yang menjelaskan populasi haiwan itu masih terkawal dan tidak mengancam keselamatan rakyat negeri ini dan ini menimbulkan lebih banyak tanda tanya akan populasi babi hutan di negeri itu.
Mengetahui sejauh mana dakwaan babi hutan berenang merentas Selat Melaka itu benar, Bernama menemubual Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail yang menjelaskan tiada bukti atau laporan spesifik akan perkara itu. Bagaimanapun, kajian mengenai dakwaan pertambahan populasi haiwan di kawasan terbabit perlu dilakukan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka, Mohd Hasdi Husin juga menjelaskan perkara sama yang mana babi hutan diketahui mampu berenang sejauh 16km sedangkan jarak Sumatera dan Melaka pula sekitar 60km. Apapun kajian DNA sedang dilakukan sejak awal bulan lepas dan hasil ujian itu belum lagi diumumkan sehingga berita ini ditulis.
Selain isu babi hutan, Melaka terus menjadi perhatian media dan orang ramai pada 2019 apabila seorang warga Singapura yang bekerja sebagai penghantar makanan dituduh membunuh isteri dan anak lelaki tirinya dan mengerat mayat mereka.
Berikutan penemuan ngeri lapan anggota badan manusia di Krubong pada 10 Okt lepas, Shahrul Nizam Zuraimy, 31, didakwa membunuh Norfazera Bidin, 27, dan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di sebuah rumah di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam pada awal Oktober.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan dan tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.
Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim dan anggota keluarga mangsa memohon orang ramai supaya menghentikan penularan bahan mengenai kes itu bagi menghormati privasi keluarga mangsa. Bagaimanapun, media mengasak keluarga mangsa untuk ditemubual menimbulkan sedikit kekecohan serta menerbitkan maklumat yang tidak sepatutnya. - Bernama