PENYAMPAI radio, Fizi Ali kembali bergelar suami apabila mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan hatinya yang juga rakan niaganya, Tiz Ikha atau nama sebenarnya Siti Zulaikha.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri Fizi atau nama sebenarnya Mohd Fifizudin Alimudin menerusi hantaran di Instagram miliknya.
"Alhamdulillah syukur. Bermula satu perjalanan baru dalam hidup kami.
"Terima kasih semua yang mendoakan yang baik untuk kami. Semoga doa yang baik kembali semula dekat kalian,” coretnya.
Februari lalu, Fizi pernah mengaku bahawa dia sedang mengenali hati budi Tiz, namun hubungan mereka masih di peringkat awal perkenalan.
Ujar fizi, dia tidak takut untuk kembali mendirikan rumah tangga biarpun pernah melalui fasa keruntuhan rumah tangga.
Sebelum ini, Fizi pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Shakilla Khoriri pada 18 Februari 2018 dan bercerai selepas tiga tahun melayari bahtera rumah tangga bersama.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nurul Ameena Sofia yang kini berusia empat tahun.
Tiz Ikha juga merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai seorang anak perempuan.