Didenda RM10,000 pukul anak tiri tak dapat jawab soalan matematik

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendenda seorang peniaga nasi lemak RM10,000, kerana memukul anak tirinya yang berusia enam tahun dengan rotan sehingga cedera, ekoran gagal menjawab soalan Matematik.

Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu, selepas lelaki berumur 38 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun tanpa cagaran terhadap tertuduh, selain menjalani khidmat kaunseling keibubapaan yang dianjurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), serta menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam untuk disempurnakan dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dan isterinya yang berkahwin pada 2020 berniaga nasi lemak dan mangsa akan bangun seawal 5 pagi, setiap hari untuk membantu ibu dan bapanya mengelap telur, menyusun barang dan menutup lauk.

Iklan

Kanak-kanak lelaki itu kemudian membuat kerja sekolah dan tertuduh memarahi mangsa lalu merotannya kerana tidak boleh menjawab soalan Matematik.

Mangsa memberitahu guru di sekolah bahawa dia dipukul ayahnya dan beberapa pegawai JKM membawa mangsa berjumpa doktor, dan mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan soft tissue injury over posterior left knee dan posteriour right cart yang berpunca daripada rotan.

Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak lelaki itu dengan memukulnya menggunakan rotan, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal di sebuah rumah di Taman Sri Rampai, Wangsa Maju di sini, pada 6 pagi, 23 Jun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan ibu bapa lain agar tidak melakukan perbuatan sama.

"Gelaran ayah bukan lesen untuk memukul mangsa bagi tujuan mendisiplinkan anak dan hanya kerana tidak boleh menjawab soalan matematik, mangsa tidak sepatutnya dipukul seperti itu.

"Mangsa memerlukan kasih sayang seorang ayah kerana ayah kandung dan ibunya telah bercerai,” katanya.

Peguam Arik Zakri Abdul Kadir mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum kerana anak guamnya menanggung keluarga dan isterinya yang mengandung empat bulan, selain telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan. - Bernama