PEMAIN perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia meluahkan kemungkinan tidak menyertai Terbuka Perancis yang bermula pada Selasa ekoran kepenatan susulan jadual kejohanan yang padat.
"Sejujurnya saya masih 50-50 untuk ke Terbuka Perancis kerana ini sudah minggu ketiga (Oktober), badan semakin penat.
"Saya akan bincangkan dengan pasukan sama ada saya cukup cergas untuk bermain lagi minggu ini atau tidak,” katanya.
Zii Jia berkata demikian kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tewas kepada Weng Hong Yang dari China dalam saingan akhir Terbuka Denmark pada Ahad.
Selepas menjuarai Terbuka Artik di Finland hujung minggu lalu, Zii Jia berpeluang mempamerkan kebangkitan prestasi untuk kejuaraan kedua berturut-turut, namun tunduk kepada Hong Yang 12-21, 6-21.
Zii Jia juga menerima kekalahan di tangan Hong Yang dengan positif dan tekad untuk lebih konsisten dalam permainan.
"Saya akan membuang jauh segala yang negatif dan mengambil perkara positif sahaja.
"Misalnya, saya mula berasa lebih yakin dengan corak permainan. Saya akan cuba menambah usaha lagi dan menjadi lebih konsisten,” katanya.
Sebagai rekod, pertemuan dengan Hong Yang adalah yang keempat dan kekalahan semalam adalah yang ketiga buat Zii Jia di tangan pemain di ranking ke-22 dunia itu.