KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bandar Tun Razak membuat tiga laporan polis terhadap empat pemilik akaun media sosial berhubung dakwaan video fitnah ke atas isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kononnya dikaitkan dengan Israel.
Ketua Wanita PKR Bandar Tun Razak, Jamilah Syed Mohamed berkata, gambar Wan Azizah itu disunting menjadi video dan dimuat naik serta tular di media sosial.
"Tujuan laporan ini dibuat supaya pihak berkuasa dapat memulakan siasatan terperinci dan menyeluruh serta mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang yang ditetapkan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini pada Isnin.
Katanya, sebelum ini, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-78 di Amerika Syarikat.
"Wan Azizah telah bergambar bersama isteri-isteri pemimpin-pemimpin dunia lain dalam satu majlis, namun gambar itu telah disunting menjadi video serta dimuat naik serta tular di media sosial," katanya.
Menurutnya, hantaran video itu jelas bersifat fitnah dan berniat jahat.
"Video seperti ini boleh menjatuhkan reputasi Wan Azizah sebagai isteri Perdana Menteri," katanya.
Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam kenyataan pada Isnin berkata, perjumpaan berkenaan didakwa kononnya dianjurkan oleh isteri pemimpin Israel serta fitnah lain yang sengaja ditimbulkan menerusi platform media sosial.
"Bagi menolak perbuatan fitnah secara melampau, AMK akan membuat laporan polis terkait usaha pihak yang tidak bertanggungjawab memutar belit demi mewujudkan sangkaan jahat terhadap pendirian kerajaan dan pemimpinnya terhadap perjuangan rakyat Palestin dan Hamas.
"AMK menempelak cubaan fitnah mengaitkan Wan Azizah dengan perjumpaan yang kononnya dianjurkan oleh isteri pemimpin Israel berserta fitnah-fitnah sisipan lain yang sengaja ditimbulkan.
"Kecenderungan beliau (Wan Azizah) terhadap perjuangan rakyat Palestin dan Hamas hakikatnya tidak boleh dipertikaikan apabila pemimpin Hamas sendiri datang berkunjung ke pejabatnya sewaktu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, di samping kenyataannya yang tegas terhadap penubuhan negara Palestin sehingga kini,” ujarnya.