KUALA LUMPUR - Perak memperoleh pelaburan direalisasikan bernilai lebih RM22.3 bilion setakat akhir Jun tahun ini daripada sejumlah 283 projek pembuatan, mewujudkan lebih 22,000 pekerjaan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman.
Justeru, Perak bersedia untuk mengukuhkan sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia khususnya di wilayah utara dengan hab perindustrian berteknologi tinggi akan datang di Kerian seperti yang diunjurkan kerajaan dalam Belanjawan 2024, katanya.
"Berasaskan Wawasan pelan pembangunan Perak Sejahtera 2023, kerajaan negeri memfokuskan kepada beberapa sektor, bukan sahaja sektor berteknologi tinggi tetapi juga berdasarkan perkhidmatan seperti Bandar Perindustrian Maritim Lumut,” katanya kepada pemberita pada majlis 'Mida Invest Series - Perak: Unfolding its Business Potentials' di sini hari ini.
Arham berkata, kerajaan negeri turut menyasar untuk menarik lebih ramai pelabur ke dalam sektor halal, bukan sahaja dalam sektor makanan halal tetapi juga dalam kosmetik dan sektor lain.
Sementara itu, dalam ucap tamanya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri komited untuk menggalakkan pelaburan ke Perak kerana negeri itu bersedia dan mampu mempertimbangkan insentif yang sesuai atau memudahkan pelabur.
Beliau menyatakan misi penggalakan pelaburan baru-baru ini ke Shanghai, Hangzhou, Nanning dan Guangzhou di China dari 15 hingga 21 Oktober 2023, berjaya menarik pelaburan berpotensi ke negeri ini.
"(Antara lain), InvestPerak telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Zhejiang Sinopont Technology, syarikat pelaburan China, untuk pengeluaran filem enkapsulasi dengan pelaburan sebanyak RM2 bilion melibatkan pembukaan kilang pembuatan baharu Zhejiang di Ipoh iaitu yang pertama di Asia Tenggara.
"MB Incorporated Perak juga menimbang potensi menjalin kerjasama dengan Rare Earth Group Co Ltd, yang berpangkalan di Nanning, untuk teknologi terkini dalam mengasingkan unsur nadir bumi dan proses pemulihan atau pemuliharaan tapak perindustrian,” kata Saarani.
Dalam misi itu, kerajaan negeri mengukuhkan kerjasama dengan rakan dagang strategik termasuk syarikat automotif gergasi China, Geely, dalam memastikan kejayaan pelaburan Lembah Teknologi Tinggi Automotif bernilai RM32 bilion di Tanjung Malim, katanya. - Bernama