PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) merancang untuk menghantar Sheikh Muhammad Taslim Shaikh Mohd Raziff berlatih di Pusat Berbasikal Dunia Korea (WCC Korea) susulan potensinya menghadiahkan medal buat skuad BMX negara.
Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, pihaknya telah berhubung dengan pengurusan WCC Korea dan nama juara kebangsaan 2023 itu kini diletakkan dalam senarai menunggu sebagai pelatih di pusat berkenaan.
"Sebelum ini PKBM telahpun menghantar lima pelatih BMX acara Flatland di WCC Korea.
Namun, nama Sheikh Muhammad Taslim tercicir kerana pengurusan WCC Korea hanya ingin pelumba BMX acara Flatland.
"Bagaimanapun, pengurusan WCC Korea bercadang untuk menyelitkan kursus bagi acara BMX Freestyle. Kemungkinan pada tahun depan. Memandangkan PKBM sangat rapat dengan pengurusan WCC Korea, kami bercadang menghantar nama Sheikh Muhammad Taslim berlatih di WCC Korea.
"PKBM sedar kebolehan beliau yang berpeluang untuk menghadiahkan medal pada kejohanan luar termasuk Sukan SEA 2025. Jadi kewajaran untuk beliau mengasah bakat di WCC Korea sangat perlu,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM pada Isnin.
Berdasarkan keputusan Kejohanan Berbasikal BMX Freestyle Flatland Sedunia 2023 di Glasgow, Scotland; Sheikh Muhammad Taslim atau lebih dikenali sebagai Botak menduduki tempat ke-25 daripada 36 pelumba.
Botak meraih 60.33 mata untuk muncul pelumba ke-5 terbaik Asia dan dia satu-satunya wakil dari rantau Asia Tenggara beraksi pada pusingan kelayakan Kejohanan Berbasikal BMX Freestyle Flatland Sedunia 2023 di Glasgow.
Sementara itu, Botak yang berjaya mengetepikan cabaran 11 lagi pencabar pelumba profesional Amerika Syarikat, Britain dan Kanada ketika beraksi di Glasgow mengakui sangat teruja untuk berlatih di WCC Korea.
"Saya ingin menambah kemahiran beraksi menjelang beberapa kejohanan terutama Sukan SEA. Saya dimaklumkan acara BMX Freestyle akan dipertandingkan di Bangkok.
"Jadi saya ingin mengambil peluang untuk menghadiahkan pingat kepada Malaysia,” katanya.
Untuk rekod, Botak menyelamatkan maruah sukan berbasikal Malaysia apabila menghasilkan satu-satunya pingat yang dimenangi kem negara menerusi acara BMX Freestyke pada Sukan SEA 2019 di Manila.
Pingat tersebut dihadiahkan pada hari terakhir kejohanan bagi memastikan kem negara tidak pulang tangan kosong sekali gus mengekalkan tradisi sukan berbasikal sentiasa menang medal di pentas Sukan SEA.
"Kalau acara BMX Freestyle dipertandingkan di Bangkok, saya nampak kita boleh memperbaiki keputusan di Manila.
"Saya yakin boleh memperbaiki prestasi sekiranya dihantar ke WCC Korea,” ujarnya.