Lebih 20 tahun Abdul Fatah hasil produk kait

Iklan
Abdul Fatah mengait tempahan pelanggan. (Kanan: Bunga ros yang mendapat sambutan daripada pelanggan.)

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Mengait benang lebih banyak didominasi oleh wanita namun Abdul Fatah Kamarazaman, 43, dari Kampung Chalil Gua Musang tidak pernah kekok menghasilkan pelbagai produk melalui kraf itu.

Abdul Fatah yang bekerja kampung sudah mengait lebih 20 tahun lalu pada awalnya mengambil keputusan mengait hanya untuk rakan-rakan sahaja.

Iklan
Iklan

Dia yang mula menerima tempahan secara serius kira-kira enam tahun lalu menggunakan masa terluang pada waktu petang dan malam setiap hari untuk menyiapkan hasil kaitnya.

"Kini banyak tempahan diterima dari seluruh negara selepas saya mula berkongsi produk berkenaan di media sosial atau memaklumkan melalui rakan-rakan," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Anak keenam daripada 14 beradik itu berkata, minatnya bermula selepas melihat ibunya, Wan Jah Wan Ibrahim, 76, dan kakak, Nooraini Kamarazaman, 50, menghasilkan alas meja dan lapik perkakas rumah yang cantik daripada benang selepas beberapa hari mengambil masa menyiapkannya.

"Mungkin juga suasana di kampung ketika itu menyebabkan tidak banyak perkara yang boleh saya lakukan dan mula mengambil benang serta jarum mereka untuk membuat tali air iaitu perkara paling asas dalam seni mengait," katanya.

Iklan

"Lama-kelamaan saya mula membuat bunga, sarung kotak tisu, amigurumi dan beberapa lagi produk yang tidak mengambil tempoh lama untuk siap dengan belajar melalui media sosial," jelasnya.

Amigurumi antara hasil kait yang memerlukan ketelitian.

Ketelitian mengait Abdul Fatah dapat dilihat daripada hasilnya yang hanya menggunakan benang tempatan tetapi kemas dan setanding dengan benang dari luar negara.

"Antara hasil kait saya yang mendapat sambutan ialah bunga ros dijual bermula pada harga RM10 hingga RM35 bergantung pada saiz dan bentuknya," katanya.

Bagi menyiapkan tempahannya Abdul Fatah biasanya membeli antara 30 hingga 40 buku benang kait secara dalam talian kerana lebih murah dan banyak pilihan warna kegemaran pelanggan.

Sebagai pencinta seni kait yang mahir, Abdul Fatah memberitahu, produk itu perlu dijual pada harga berpatutan kerana ia memerlukan ketelitian dan ketekunan.

"Saya pernah ditegur berkaitan harganya yang dikatakan mahal tetapi itu hasil kerja kita yang 100 peratus buatan tangan. Terima kasih kepada mereka yang menghargai kami," katanya lagi.

Bagaimanapun, dia tidak berhasrat membuka kelas kerana sibuk dengan tempahan dan perlu memberi komitmen kepada tempahan pelanggan.