Semua menteri perlu tumpu portfolio masing-masing: Darell

Iklan
Darell

SEREMBAN - Setiap menteri perlu memberi tumpuan terhadap peranan serta portfolio masing-masing bagi membantu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir negara selain membantu rakyat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof semalam yang berhasrat untuk memperluas skop kementeriannya dengan meliputi perdagangan dan pelaburan.

Iklan
Iklan

Jelas Darell, setiap kementerian mempunyai peranan berbeza dan Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) misalnya bertanggungjawab menggalakkan pembangunan usahawan dalam semua bidang.

"Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) amat jelas dengan peranan kita iaitu perdagangan antarabangsa dan akan memberi tumpuan untuk bekerjasama dengan semua kementerian untuk membawa masuk pelabur antarabangsa dan domestik ke dalam ekosistem dan perdagangan negara.

Iklan

"Pada pendapat saya, setiap kementerian perlu tahu peranan masing-masing dan (pada masa sama) berasa gembira kerana sahabat saya di MED turut teruja untuk membantu kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri dengan kerajaan negeri.

Iklan

Menurut Darell, selepas diberi tanggungjawab masing-masing oleh perdana menteri, para menteri seharusnya tidak hilang fokus untuk membantu rakyat yang merupakan amanah mereka.

"Ini hanyalah untuk beberapa tahun dan ada di antara kita yang pada bila-bila masa boleh dilepaskan daripada tanggungjawab sebagai menteri. Oleh itu, selagi masih diberi amanah melaksanakan tugas ini, kita tidak harus hilang fokus," katanya. - Bernama