SHAH ALAM - Larangan menggunakan perkataan kafir, Yahudi dan Zionis pada sesi Dewan Rakyat merupakan satu langkah yang amat tidak wajar kerana ia menyekat kebebasan bersuara ahli Parlimen.
Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, adalah menjadi sesuatu yang amat dangkal untuk Parlimen Malaysia mengehadkan penggunaan sebarang perkataan yang sekiranya diutarakan di luar dewan pun tidak menjadi kesalahan.
Menurutnya, sebagai contoh perkataan kafir yang menjadi antara punca polemik di dalam Parlimen baru-baru ini adalah kerana kurangnya kefahaman sesetengah ahli Parlimen mengenai perkataan tersebut.
"Perkataan kafir yang berasal daripada bahasa Arab yang merujuk kepada orang-orang yang ‘tidak mempercayai’ atau lebih tepat lagi mereka yang bukan beragama Islam dan tidak mempercayai apa yang diimani oleh seorang Muslim.
"Sewajarnya, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul wajar mengambil kesempatan ini untuk menerangkan maksud dan terjemahan perkataan tersebut untuk difahami oleh semua ahli dewan, kerana perkataan ini bukanlah satu kutukan atau cercaan, tetapi hanya satu gelaran kepada mereka yang tidak menganut agama Islam,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Isnin menegur ahli Parlimen supaya tidak mengungkapkan perkataan-perkataan sensitif seperti kafir, Zionis dan Yahudi di Dewan Rakyat.
Sebaliknya, beliau meminta ahli-ahli Parlimen untuk membawa isu-isu rakyat serta negara sebagai matlamat utama dan tidak menjadikan Dewan Rakyat sebagai medan politik.
Sehubungan itu, beliau menegaskan tidak akan bertolak ansur lagi dan akan mengambil tindakan sekiranya isu dan perkataan berkenaan dibangkitkan.
Zuraida menjelaskan, perkataan Yahudi dan Zionis pula, ia sama seperti lontaran perkataan rasis, ekstremis, Taliban dan Komunis yang pernah digunakan oleh kedua-dua belah pihak, pembangkang dan kerajaan sebelum ini.
"Ia hanyalah merupakan lontaran komunikasi antara satu sama lain dan bukannya kata-kata ugutan atau makian yang terlalu serius, sehingga penggunaannya perlu dilarang dan mendapat campur tangan speaker dewan.
"Pandangan saya sebagai mantan ahli Parlimen selama tiga penggal, kualiti pengurusan Parlimen dan ahli-ahlinya pada ketika ini dilihat merudum berbanding sidang-sidang Parlimen sebelum ini,” katanya.
Tambahnya, tahap ketahanan mental ahli-ahli Parlimen khususnya dari kalangan ahli Parlimen kerajaan begitu rapuh sehinggakan Yang Dipertua Dewan Rakyat sendiri terpaksa campur tangan dan menurunkan arahan-arahan merapu untuk menjaga hati mereka.
"Saya menjangkakan berlaku sekatan demi sekatan yang berterusan terhadap ahli Parlimen pada masa akan datang, sehingga pada akhirnya Parlimen Malaysia akan gagal untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai wadah memperjuangkan rakyat, akibat daripada suara wakil-wakil mereka yang disekat.
"Kelemahan Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam mengendalikan sidang Parlimen juga kelihatan amat jelas, yang mana beliau dilihat terlalu berlembut dengan pihak kerajaan dan terlalu tegas apabila berhadapan dengan pembangkang.
"Jika tidak mampu berlaku adil, saya sarankan kepada Johari Abdul untuk melepaskan sahaja jawatan beliau sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan membiarkan individu lain yang lebih layak untuk memegang jawatan tersebut," jelasnya.
Ujar Zuraida, walaupun kasar atau biadab bagi sesetengah pihak, suara ahli Parlimen seharusnya tidak boleh disekat, kerana perbuatan menghalang perkataan atau kenyataan tertentu di dalam Parlimen ini, dengan jelas akan merencatkan lagi perkembangan demokrasi di negara kita.