TH teruskan bantuan kewangan haji tahun depan

Iklan
Mohd Na'im

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneruskan inisiatif bantuan kewangan haji secara bersasar kepada golongan yang memerlukan selaras hasrat kerajaan untuk menstruktur semula subsidi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, institusi itu juga sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat melalui media, media sosial dan sesi libat urus tentang kepentingan konsep kemampuan atau istitaah.

Iklan
Iklan

"Seramai 67 jemaah B40 dan M40 telah menolak bantuan kewangan haji yang layak diperoleh sebagai Dhuyufurrahman pada musim haji 1444H, sebaliknya membayar kos penuh haji kerana berpegang kepada syarat istitaah atau kemampuan dalam kewajipan menunaikan ibadah itu.

"Selain itu, seramai 396 jemaah B40 dan M40 pula mengambil inisiatif mengurangkan kebergantungan mereka terhadap bantuan kewangan haji, dengan membuat pembayaran tambahan antara RM1,000 hingga RM12,000 berbanding bayaran haji minima yang dikenakan,” katanya ketika menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Oleh yang demikian beliau berkata, TH telah berusaha untuk mengawal peningkatan kos haji dengan memeterai beberapa perjanjian kontrak jangka panjang untuk penerbangan, penginapan, sajian makanan serta beberapa perkhidmatan di Arab Saudi.

"Dengan cara ini, harga dapat ditetapkan untuk satu tempoh masa dan tidak dinaikkan setiap tahun.

Iklan

"TH telah memberikan bantuan kewangan haji kepada jemaah sejak 2001 dan telah menambah baik mekanisme ini secara bersasar bermula tahun 2022.

"TH akan meneruskan bantuan kewangan haji kepada yang benar-benar memerlukan bagi menunaikan rukun Islam kelima ini,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau berkata, kadar bantuan haji ditetapkan berdasarkan kategori pendapatan individu dan bukan isi rumah.

Justeru katanya, dasar klasifikasi pendapatan jemaah haji yang terpilih mengikut kategori B40, M40 dan T20 berasaskan kerjasama dengan agensi kerajaan untuk menyemak silang maklumat bakal haji dengan maklumat data penerima bantuan kerajaan yang ada.

"TH juga mengambil maklum usaha kerajaan membina pangkalan data utama iaitu PADU (Sistem Pangkalan Data Utama) yang akan menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah dalam usaha menyalurkan secara adil dan bersasar.

"Untuk itu sekiranya diberikan ruang dan peluang, TH akan mempertimbangkan cara baharu untuk menambah baik proses mengklasifikasikan bakal jemaah haji bagi tujuan pemberian bantuan kewangan haji bersasar, selari dengan hasrat kerajaan," katanya.