TANJONG KARANG - Sebuah kapal kargo dipercayai dari Mesir ditahan selepas didapati berlabuh tanpa kebenaran di barat daya Sungai Burung dekat sini pada Isnin.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, kapal kargo terbabit ditahan pada kedudukan kira-kira 24 batu nautika di kawasan itu pada jam 6.50 petang.
"Selain itu, hasil maklumat Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) memaklumkan, kapal kargo itu tidak mempunyai kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, kapal Maritim Malaysia kemudiannya digerakkan ke lokasi sebelum bertindak menahan kapal terbabit.
"Pemeriksaan dijalankan mendapati kapal kargo itu dinaiki 23 kru lelaki termasuk nakhoda berumur di antara 23 hingga 58 tahun terdiri daripada warga Rusia dan Ukraine serta memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
"Pemeriksaan lanjut mendapati, nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952," katanya.
Beliau berkata, perintah penahanan ke atas kapal terbabit dikeluarkan dan kapten serta seorang kru kapal telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Selangor untuk siasatan lanjut.
"Maritim Malaysia sentiasa memandang serius terhadap pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya perairan Selangor sentiasa terpelihara.
"Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia dan perlu mengikut peraturan yang ditetapkan sebelum melakukan sebarang aktiviti di perairan negara ini," katanya.