ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited dalam menangani isu berkaitan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak terutama membabitkan pelajar sekolah dan sentiasa memandang serius isu itu.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM memberi komitmen sepenuhnya mengenai penguatkuasaan lebih tegas Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
"Penting untuk diulang memperingatkan bahawa kita juga sudah meluncurkan garis panduan pengurusan gangguan seksual (Garis Panduan Pengurusan Buli dan Gangguan Seksual) di peringkat institusi pendidikan KPM.
"Jadi ia bukan sekadar garis panduan semata-mata, tapi memaknakan keseriusan kita bahawa isu seksual ini benar-benar ditangani," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Promak Riang Ria Nutri Peringkat Negeri Kedah di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said semalam, mengenai penguatkuasaan lebih tegas dan agresif akan dilaksanakan bagi membendung penderaan seksual terhadap kanak-kanak, termasuk mendakwa guru, jiran atau orang awam yang menyembunyikan atau gagal melapor perbuatan itu.
Azalina dilaporkan berkata, sehingga ini belum ada individu yang didakwa berkaitan isu itu walaupun ia termaktub dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
Sementara itu, Fadhlina berkata, Program Makanan Kesihatan (Promak) yang membekalkan makanan berkhasiat kepada murid sekolah rendah di seluruh negara menjadi serampang dua mata, bukan sahaja dari segi nutrisi malah turut meningkatkan kehadiran pelajar ke sekolah.
"Selain isu nutrisi, program ini (Promak) mampu mengangkat kehadiran kanak-kanak ke sekolah sehingga 89 peratus selepas program promak,” katanya.
Menerusi program itu, bekalan set makanan tengah hari lengkap disediakan buat pelajar sebaik sahaja mereka selesai menjalani sesi pembelajaran di sekolah.
Terdahulu dalam ucapannya, Fadhlina berkata KPM sentiasa memberikan perhatian serius berhubung isu malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak sekolah.
"KPM sentiasa berusaha ke arah penambahbaikan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta Program Hidangan Berkhasiat (HiTS) yang diharapkan dapat membantu mengatasi isu malnutrisi dan kemiskinan murid di peringkat umur awal persekolahan,” katanya. - Bernama