BATU PAHAT - Laluan pintas ke Tanjung Laboh sejauh kira-kira 9.5 kilometer yang tergendala pembinaannya tiga tahun lalu akan diteruskan pada hujung tahun ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, projek pembinaan jalan ini dijangka siap sepenuhnya pada Disember tahun depan.
Menurutnya, jalan pintas merentasi jalan Kampung Rahmat dan Estet Sri Gading itu akan memberi manfaat kepada 50,000 pengguna jalan selain memendekkan jarak perjalanan kepada 9.5 kilometer yang mengambil masa hanya kira-kira 10 minit.
"Pengguna tidak lagi perlu melalui bandar Batu Pahat untuk ke Pekan Rengit, Minyak Beku dan Senggarang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau projek Jalan Kampung Rahmat dan Estet Sri Gading di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja Nor Rashidah Ramli, ADUN Senggarang, Mohd Yusla Ismail, Jurutera Daerah JKR Batu Pahat, Fairul Azri Yaacob dan Jurutera Jalan, JKR Batu Pahat, Khairul Shahril Ramili.
Dalam pada itu, ketika membuat lawatan ke Tangki Air Parit Sulong, Mohamad Fazli memberikan jaminan kerja naik taraf tangki tersebut akan siap sepenuhnya pada Februari tahun hadapan.
Ujarnya, kerja-kerja naik taraf itu akan menyelesaikan isu bekalan air terutama ketika sambutan perkataan yang dihadapi kira-kira 20,000 pemegang akaun di situ.