Pengerusi PSM dan tiga individu ditahan bantah pengusiran petani

Iklan
Petani-petani didakwa bertelagah dengan pihak berkuasa menyebabkanempat individu ditahan polis. Foto Ihsan PSM

IPOH - Empat individu termasuk Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Michael Jeyakumar Devaraj ditahan polis manakala seorang lagi cedera dalam satu bantahan di Kanthan, Chemor pada Selasa.

Setiausaha Agung PSM, A Sivarajan berkata, mereka ditahan ketika cuba menghalang pengusiran paksa dan kemusnahan ladang oleh sebuah agensi kerajaan.

Iklan
Iklan

"PSM memperjuangkan isu ini dalam menjamin sekuriti makanan negara. Lebih 200 petani menanam pelbagai tanaman untuk pasaran tempatan dan penduduk di kawasan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Sivarajan berkata, kerajaan negeri gagal melaksanakan janji untuk menggantikan tanah seluas 0.8 hektar sejak 2012.

Iklan

"Kini petani diusir secara paksa mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara. Mengapa menghalau petani produktif sedangkan mereka telah memohon tanah itu, menunggu dengan sabar dan mematuhi tawaran kerajaan negeri untuk mendapatkan tanah alternatif.

"PSM telah banyak kali menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri dan kementerian terlibat tetapi tiada tindakan diambil," katanya.

Iklan

Susulan kejadian itu, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya campur tangan bagi menyelamatkan petani yang berdepan pengusiran paksa di kawasan Parlimen Tambun itu.

Michael Jeyakumar (kiri) turut hadir dalam bantahan di sebuah ladang di Kanthan, Chemor turut ditahan polis bersama tiga individu lain. (Kanan: Yee Shan cedera dalam bantahan pengusiran paksa petani-petani di sebuah ladang di Chemor). - Foto Ihsan PSM

Tambah beliau, pihaknya menuntut agar Jeyakumar bersama M Karthigesan, 42, Ho Pon Tien, 53 dan P Kesavan, 30, segera dibebaskan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PSM Pusat, Chong Yee Shan yang mengalami kecederaan pada bahagian muka selepas terjatuh ketika operasi dijalankan ke atas petani yang meneroka tanah kerajaan di kawasan berkenaan.

Yee Shan ketika dihubungi memaklumkan kejadian terbabit terlalu pantas menyebabkan dia terjatuh.

"Saya sendiri tak pasti apa yang sebenarnya berlaku tetapi yang pasti saya alami kecederaan," katanya ringkas kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum itu, tular video Yee Shan yang dilihat seolah-olah ditolak seorang individu sebelum terjatuh dan mengalami kecederaan.

Tindakan itu dilakukan bagi membolehkan sebuah kenderaan melalui jalan tersebut.