BEIJING - Polis China bukan saja menyelamatkan kira-kira 1,000 ekor kucing, malah dapat mengelakkan pelanggan restoran dihidangkan dengan daging haiwan jinak tersebut yang dianggap daging babi dan kambing.
Pada 12 Oktober lalu, kumpulan pencinta haiwan melaporkan kepada polis mengenai sebuah trak memburu kucing dan menjual daging sebagai makanan di bandar Suzhou, wilayah Jiangsu.
Mereka yang menjejaki trak itu hampir seminggu telah menemui puluhan peti kayu mengandungi 20 ekor kucing setiap satunya di kawasan tanah perkuburan di wilayah pantai timur.
Selepas enam hari mengintai sangkar kucing dan laluan diambil pemandu trak itu, mereka berjaya memintas kenderaan itu dan menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan.
Menurut mereka, kucing itu dalam perjalanan ke rumah penyembelihan untuk dijadikan makanan seperti sate dan sosej yang dianggap sebagai daging babi, kambing dan lembu.
Difahamkan daging itu dijual pada harga 4.50 yuan (RM2.94) bagi satu paun atau 0.45 kilogram (kg) tetapi di pasaran, daging kambing boleh dijual dengan harga 30 yuan (RM19.63) bagi 0.45kg.
"Menjual daging kucing dengan berat sekitar empat hingga lima paun sebagai daging kambing atau daging babi, peniaga memperoleh keuntungan berdasarkan perbezaan keseluruhan harga," aktivis haiwan, Gong Jian.
Sebelum ini, kumpulan aktivis itu menemui rumah penyembelihan di wilayah tenggara Guangdong di mana kucing beku disimpan dalam sebuah kedai untuk dijual. - Agensi