KUALA LUMPUR - Kontroversi laungan ‘takbir’ tidak seharusnya menenggelamkan agenda utama Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena malam ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, tujuan utama demonstrasi malam ini adalah untuk menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin yang sedang sengsara dan menderita berikutan konflik terbaharu Palestin-Israel.
"Harapan saya, semua umat Islam walaupun berlainan politik, janganlah kita tengok benda yang kecil itu sampai kita lupa benda yang lebih besar,” katanya kepada media selepas berucap pada Wacana Pengamal Media: Solidariti Palestin di Studio TV Alhijrah di sini hari ini.
Beliau menambah, tiada isu bagi bukan Islam melaungkan 'takbir’ dalam perhimpunan solidariti malam ini selagi ia tidak berniat jahat, sebaliknya kerana mahu menunjukkan sokongan kepada matlamat perhimpunan itu.
Menurutnya, untuk pemahaman lebih jelas mengenai penggunaan 'takbir’, orang ramai boleh merujuk kepada mufti.
Sementara itu, pada wacana itu Mohd Na’im berkata, peranan media dalam melaporkan peperangan dan konflik adalah penting kerana ia akan memberikan orang ramai maklumat yang benar, tepat pada masanya dan liputan bertanggungjawab.
Beliau menambah peranan media penting kerana ia berfungsi sebagai sumber maklumat untuk orang ramai, dipertanggungjawabkan oleh pihak berkaitan dan untuk meningkatkan kesedaran, kefahaman serta memberi penerangan mengenai pelanggaran hak asasi manusia, jenayah perang dan pencabulan undang-undang antarabangsa.
"Wacana hari ini tidak lain tidak bukan untuk meminta pelaporan yang adil dan saksama di Gaza dan Palestin dalam meningkatkan kefahaman tentang isu yang dihadapi,” katanya. - Bernama