PUTRAJAYA - Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN), yang bermesyuarat pertama kali di sini hari ini, membincangkan pelaksanaan Dasar Perumahan Negara (DRN) 2018–2025 dan 1 Juta Rumah Mampu Milik (RMM) 2018–2028.
Turut dibincangkan pada mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu ialah mengenai cadangan pemajuan rumah mampu milik di atas tanah wakaf dan penganjuran Kempen Pemilikan Rumah (HOC) oleh kerajaan bersama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).
MPMMN, ditubuhkan pada 9 November lalu bagi membincangkan isu, dasar dan hala tuju berkaitan dengan perumahan negara, diurus setia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Jabatan Perumahan Negara dalam satu kenyataan dikeluarkan sempena mesyuarat itu hari ini berkata MPMMN mengambil maklum akan pelaksanaan DRN 2018–2025 yang melibatkan lima fokus, 16 strategi dan 57 pelan tindakan.
"Bagi 2019, sebanyak 15 pelan tindakan akan mula dilaksanakan dalam menangani isu perumahan,” kata jabatan itu.
Kenyataan itu menyebut anggota mesyuarat MPMMN juga mengambil maklum tentang inisiatif dan pendekatan KPKT dalam pembentukan dasar perumahan dengan mengambil kira keperluan dan penyediaan perumahan sebenar.
"Komitmen kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak swasta amat diperlukan dalam menjayakan pelaksanaan DRN 2018–2025,” kata kenyataan itu.
Mengenai pelaksanaan 1 Juta RMM 2018–2028, MPMMN bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Pemandu Pemantauan Pelaksanaan 1 juta RMM (2018-2028), yang dipengerusikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.
Turut dipersetujui majlis ialah mewujudkan pangkalan Data Bersepadu Perumahan, katanya.
Jabatan Perumahan Negara berkata MPMMN juga bersetuju dengan kajian dan penggubalan Akta Pemajuan Tanah Wakaf yang dilaksanakan bagi meneliti mekanisme terbaik dan garis panduan dalam melaksanakan pemajuan di atas tanah wakaf.
"Pemajuan di atas tanah wakaf ini sememangnya disokong kerana ia dapat mengurangkan harga rumah seterusnya memberi manfaat kepada rakyat Islam khususnya, selain daripada meningkatkan ekonomi ummah,” katanya.
Mengenai penganjuran HOC, kenyataan jabatan itu menyebut ia dijangka diadakan pada 1 hingga 3 Mac di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Kenyataan itu juga menyebut MPMMN turut mengambil maklum bahawa KPKT akan meneliti dan menambah baik dasar dalam perumahan negara supaya ia menjadi pemangkin ke arah perumahan negara yang menjadi tempat tinggal berkualiti, berdaya huni serta memenuhi elemen komuniti. - Bernama