GUA MUSANG - Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemukan semasa kerja-kerja membersihkan sungai di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Betis di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu pada jam 9.05 pagi selepas menerima panggilan daripada orang awam.
"Sejurus menerima panggilan itu, anggota polis dikejarkan ke lokasi. Pemeriksaan yang dilakukan membawa kepada penemuan mayat lelaki dipercayai lemas dan dihanyutkan arus.
"Pemeriksaan awal pada tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan pecah di bahagian kepala dan kaki," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan kecederaan pada tubuh mangsa akibat terkena batu dan kayu yang terdapat di sungai tersebut.
Ujarnya, identiti mangsa belum dikenal pasti dan siasatan ke atas mayat mendapati tiada unsur jenayah.
"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
"Kes diklasifikasikan mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.