Sumpah laknat tiada dalam perundangan Islam: Mufti Wilayah Persekutuan

Iklan
Kenyataan media Mufti Wilayah Persekutuan berhubung isu sumpah laknat.

KUALA LUMPUR - Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tiada istilah sumpah laknat dalam perundangan Islam kecuali membabitkan perkara li'an.

Dr Zulkifli berkata, bagaimanapun mubahalah dalam Surah Ali Imran ayat 61 tidak merujuk kepada sistem perundangan Islam sebaliknya kategori sumpah dalam pendebatan untuk menyokong hujah yang benar.

Iklan
Iklan

"Mubahalah tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes sedang dibicarakan di mahkamah.

"Bahkan proses keadilan di mahkamah tidak eksekutif pada sumpah sahaja, bahkan pembuktian yang lain seperti pengakuan, penyaksian dan pembuktian di hadapan hakim," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Iklan

Beliau berkata, dalam prinsip perundangan Islam, sumpah hanya diambil kira atau dilakukan apabila diminta oleh kadi atau hakim.

Menurutnya, ianya dilaksanakan selepas pendakwaan dilakukan, bahan bukti dikemukakan dan keterangan saksi didengar.

Iklan

"Ia disebut sebagai al-yamin al-qadha’iyyah. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh yang menyebut di mana pembuktian adalah tanggungjawab pihak pendakwa, manakala sumpah penafian adalah tanggungjawab orang yang didakwa," katanya.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat sumpah laknat di Masjid Jamek Kampong Baru menafikan pembabitan dalam pembunuhan melibatkan warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Najib menerusi sumpah tersebut turut menegaskan tidak pernah berjumpa atau mengenali mendiang sama sekali dan tindakan sumpah yang dilakukan olehnya menerima pelbagai kritikan dan isu daripada pelbagai pihak.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) wajar menggubal peraturan melarang apa-apa majlis melibatkan sumpah atau sumpah laknat berkaitan kepentingan awam atau kes yang sedang dibicarakan bagi mengelakkan masjid dimanipulasi mana-mana pihak.

"Pada masa kini, telah wujudnya mahkamah untuk menyelesaikan isu perundangan.

"Justeru, kami berpendapat bahawa mahkamah adalah tempat yang lebih sesuai dan tepat untuk melakukan sumpah, jika diperlukan.

"Berkenan isu sumpah dan mubahalah, pihak kami akan menerbitkan satu Bayan Linnas khas dengan tajuk Mubahalah: Fiqh dan Isunya dalam masa terdekat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Altantuya: Najib lafaz Sumpah Mubahalah nafi dakwaan Azilah