Ubah wang haram: Ahli Parlimen dan Timbalan Ketua Bahagian didakwa esok

Iklan

SHAH ALAM - Seorang ahli Parlimen akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas pertuduhan pengubahan wang haram.

Menurut sumber, ahli Parlimen tersebut akan dituduh di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Iklan
Iklan

Katanya, individu tersebut dipercayai bakal berdepan dengan lebih 15 pertuduhan membabitkan nilai wang pengubahan wang haram berjumlah RM6 juta.

"Ahli Parlimen itu telah dipanggil ke ibu pejabat SPRM Putrajaya hari ini (Selasa) untuk diambil keterangan sebelum dituduh esok," katanya pada Selasa.

Iklan

Tambah sumber itu, selain ahli Parlimen tersebut, seorang Timbalan Ketua Bahagian parti politik sama juga akan dituduh atas kesalahan di bawah seksyen sama melibatkan nilai wang berjumlah RM500,000 di mahkamah sama.

Menurutnya, individu yang sama juga akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis bagi menghadapi beberapa pertuduhan dengan nilai lebih RM3 juta.

Iklan

Jelasnya, kesemua pertuduhan yang akan dilakukan itu adalah di bawah seksyen sama.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut, namun enggan mengulas lanjut.