RIYADH - Sebuah mahkamah di Arab Saudi hari ini mendapati lapan individu disabit bersalah kerana membunuh wartawan terkenal, Jamal Khashoggi di Konsulat Riyadh di Istanbul pada 2 Oktober 2018.
Pejabat Pendakwa Awam di Riyadh dalam satu kenyataan memaklumkan lima dihukum mati manakala tiga lagi dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
"Saud al-Qahtani yang merupakan bekas penasihat kanan kepada Putera Mahkota Mohammed bagaimanapun tidak berdepan sebarang dakwaan. Dia dibebaskan kerana bukti yang tidak mencukupi untuk mendakwanya," kata jurucakapnya.
Selain itu, Timbalan Ketua Perisik, Ahmed al-Assiri yang dilucutkan jawatan susulan insiden menggemparkan itu juga didapati tidak bersalah oleh mahkamah.
Sebelum ini, seramai 11 individu dinamakan sebagai suspek dalam kes pembunuhan kejam ke atas kolumnis The Washington Post tersebut dan perbicaraan ke atas mereka juga dilakukan sebanyak sembilan sesi serta dihadiri wakil komuniti antarabangsa dan ahli keluarga Khashoggi.
"Kami juga mendapati pembunuhan Khashoggi tidak dirancang seperti didakwa banyak pihak," katanya.
Sebelum ini, laporan siasatan dilakukan pihak berkuasa Turki berdasarkan rakaman audio ketika kejadian itu mendapati pengkritik lantang Putera Mohammed tersebut dicekik sebelum mayatnya dikerat-kerat dan dilupuskan menggunakan asid.
Sehingga kini, mayatnya gagal ditemukan pihak berkuasa. - Agensi