KUALA LUMPUR - Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz mengambil pendekatan berucap dalam bahasa Hebrew di Himpunan Malaysia Bersama Palestin bagi menyampaikan mesej jelas kepada Isreal.
Beliau berkata, penggunaan bahasa itu bertujuan untuk memastikan Israel memahami pesan dan pendirian tegas Malaysia yang mengutuk keras kekejaman rejim zionis terhadap rakyat Palestin.
Menurutnya, negara ini menggesa Isreal menghentikan genosid dan naratif ‘Holocaust 2.0’ dengan membunuh ribuan nyawa di Gaza.
"Masyarakat dunia terpaksa terus menanti hari demi hari, jalan yang terus panjang serta sukar,” katanya kepada Sinar Harian.
Program himpunan anjuran ABIM dan Global Peace Malaysia (GPM) itu melibatkan lebih 40 badan bukan kerajaan (NGO) seperti Malaysian Humanitarian Aid And Relief (MAHAR); Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram); MyAqsa Defenders; Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Dalam pada itu, Muhammad Faisal memaklumkan, jumlah yang hadir ke himpunan tersebut mencecah 30,000 pengunjung.
Tambah beliau, penglibatan orang ramai berjaya membuktikan bahawa rakyat di negara ini tidak pernah berhenti menyokong Palestin dengan mengecam tindakan Israel.
"Bagi pihak kami (ABIM), ia sangat signifikan dan paling penting, solidariti serta kebersamaan ini sentiasa berterusan.
"Kami juga nak pastikan seluruh warga Malaysia mengambil tanggunggjawab untuk mendidik generasi akan datang memperjuangkan hak rakyat Palestin,” ujarnya.