Terap kesedaran rasuah bermula tadika, prasekolah

Iklan
Maznah (enam dari kiri) bergambar bersama Nurul Yasmin Irdina (lima dari kiri) selepas Majlis penyampaian hadiah Bicara Cilik di Sekolah Menengah Agama Marang di sini pada Selasa.

MARANG - Pendedahan awal tentang kesedaran mengenai rasuah perlu diterapkan bermula di peringkat prasekolah bagi mengekang perbuatan tidak bermoral itu menjadi kebiasaan pada masa akan datang.

Pengerusi Rasuah Busters Negeri Terengganu, Maznah Salleh berkata, peranan guru amat penting dalam membantu pelajar supaya dididik untuk menjadi insan yang berintegriti selain menolak amalan rasuah.

Iklan
Iklan

"Jika kita tak mulakan dari bawah maka keberkesanannya adalah kurang. Jadi perlu terapkan tentang bahaya rasuah dan kesedaran tentang rasuah ketika mereka masih kecil.

"Sebagai contoh ceritakan dan beri penerangan kepada anak-anak di taman didikan kanak-kanak (tadika) bahawa rasuah suatu amalan yang salah dan perlu dijauhi.

Iklan

"Cara yang baik adalah dengan mendidik mereka di peringkat awal kerana kebiasaan anak-anak ini mudah ingat selain akan mempraktikkan amalan itu setelah dewasa kelak," katanya.

Beliau berkata demikian ditemui Sinar Harian selepas menyampaikan hadiah Bicara Cilik di Sekolah Menengah Agama Marang di sini pada Selasa.

Iklan

Justeru, Maznah berkata, kesedaran dan pendidikan tentang bahaya rasuah perlu dipergiatkan di peringkat akar umbi iaitu bermula dari tadika dan sekolah.

Katanya, perkara mengenai integriti dan bahaya rasuah perlu dijadikan mata pelajaran di kelas bagi memastikan pelajar mempunyai kesedaran awal sejak bangku sekolah.

Maznah (tengah) menyampaikan hadiah Bicara Cilik kepada pemenang, Nurul Yasmin Irdina (dua dari kiri)

Pada majlis itu, Maznah turut menyampaikan hadiah dan sijil kepada pemenang hadiah Bicara Cilik iaitu Nurul Yasmin Irdina Maslizi.

Sementara itu, Nurul Yasmin Irdina berkata, antara cara untuk mengajak rakan-rakan lain supaya mengamalkan integriti tinggi ialah memberi contoh yang baik kepada mereka bahawa menjalankan suatu amanah dan tanggungjawab itu perlu dipikul sebaik-baiknya.

"Selain itu, saya juga akan nasihati rakan untuk amalkan sikap integriti yang tinggi terutama elakkan berlaku penyelewengan iaitu meniru atau memberi tiru kepada rakan terutama semasa ujian dan peperiksaan," ujarnya.

Selain itu, Pengetua Sekolah Menengah Agama Marang, Zulkifli Haji Harun berkata, pertandingan Bicara Cilik Rasuah Busters merupakan salah satu cara atau pendekatan terbaik kepada pelajar supaya lebih memahami tentang rasuah selain didedahkan mengenai bahaya jenayah rasuah ini.

"Pendekatan tersebut perlu diperluaskan dan diteruskan. Selain itu, melatih diri mereka untuk berani berhadapan dengan orang ramai dan boleh menyuarakan pandangan dan pendapat masing-masing.

"Pelajar ini juga dapat terdidik dengan ajaran yang baik supaya menjauhi gejala rasuah," ulasnya.

Bicara Cilik Rasuah Busters dianjurkan secara berkolaborasi oleh Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Kg Baharu Jerantut, Pahang bersama Rasuah Busters dan Grup Buku Karangkraf.

Urusetia program di bawah kepimpinan Noraini A Malek bersama Penyelaras Program, Norafizah Abdul Razak berjaya menghimpunkan 19 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah dari seluruh negara untuk menyertainya dengan 58 pembentang cilik terlibat, manakala 92 pendidik pula menjadi tulang belakang.

Program disiarkan secara langsung di Facebook dan TikTok Sinar Bestari, Rasuah Busters, Astro Awani, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).