SHAH ALAM - Pilihan raya bagi memilih pelajar sebagai pengawas wajar dimulakan bagi sekolah-sekolah berasrama penuh dan juga Tingkatan Enam sebagai fasa percubaan.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, cadangan pelaksanaan pilihan raya itu sesuai sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran amalan demokrasi.
Menurutnya, satu garis panduan yang jelas sebagai rujukan juga perlu dibuat bagi memastikan matlamatnya adalah sebagai satu proses pembelajaran semata-mata.
"Ini adalah satu pendedahan awal kepada pelajar, apakah itu amalan demokrasi? Apa itu proses pemilihan kepimpinan?
"Bagaimana memilih pemimpin? Apakah peranan seorang pemimpin? Etika dalam menghormati pilihan pengundi dan sebagainya.
"Sebaiknya dimulakan di sekolah berasrama penuh dan pelajar Tingkatan Enam sebagai fasa percubaan.
"Jika bersesuaian boleh dikembangkan di semua sekolah menengah,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kesediaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meneliti cadangan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah supaya pilihan raya bagi memilih pelajar menjadi pengawas diadakan di peringkat sekolah.
Pada Isnin, Timbalan Menteri KPM, Lim Hui Ying berkata, cadangan tesebut selari dengan usaha untuk memperkasakan pendidikan literasi politik dalam kalangan golongan muda.
Anuar berkata, pelaksanaan amalan demokrasi yang lebih praktikal mampu memupuk sifat kepimpinan dalam kalangan pelajar.
"Praktik ini yang dilaksanakan secara hands on akan menggalakkan pemupukan sifat kepimpinan dalam kalangan pelajar.
"Bagaimanapun, amalan ini lebih sesuai dilaksanakan di peringkat menengah,” ulasnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Romzi Ationg berkata, inisiatif itu tepat pada masanya dan boleh dimanfaatkan dalam mempersiapkan pelajar sekolah menengah untuk menyertai pilihan raya umum.
Menurutnya, pemilihan pengawas sekolah akan membolehkan pelajar memahami proses pengundian dan kerja sistem demokrasi di negara ini.
"Inisiatif ini dianggap tepat pada masanya dan penting untuk membentuk kesedaran politik pelajar muda,” katanya kepada Bernama pada Selasa.
Tambah Romzi, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk membiasakan pelajar dengan prinsip demokrasi dan prosedur pengundian sejak kecil.
"Memastikan kelancaran dan keberkesanan proses pilihan raya memerlukan kerjasama rapat daripada kedua-dua pihak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Selain itu, kehadiran pemerhati politik penting bagi menegakkan ketelusan dan keadilan dalam prosiding pilihan raya,” ulasnya.