BEBERAPA pengurusan kelab Liga Malaysia (Liga-M) diminta supaya memberi perhatian khusus dengan lebih bertanggungjawab terhadap aspek kebajikan para pemain pasukan masing-masing.
Penaung Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika menyatakan perkara itu juga berharap pasukan berkenaan menyelesaikan hutang atau tunggakan gaji pemain masing-masing.
"Buat masa ini saya menyeru kepada kelab atau pihak tertentu untuk menjaga kebajikan pemain masing-masing.
"Macam Kedah, Kelantan dan Sarawak yang masih berhutang lagi dulu.
"Kuala Lumpur juga ada masalah buat masa ini, Melaka yang masih belum selesai masalah dahulu.
"Jadi saya berharap ada perancangan atau pun tindakan yang akan diambil bagi menjaga kebajikan pemain," dakwanya menerusi temu bual dalam rancangan Nindia Bola di stesen televisyen swasta pada Isnin.
Tunku Ismail sebelum ini juga mencadangkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengimplimetasikan Peraturan Kewangan Bersih (FFP) dalam saingan Liga-M.
Sebagai rekod, FFP dipraktikan beberapa negara Eropah dapat mengawal perbelanjaan secara lebih berdisiplin dalam kalangan kelab yang bersaing dalam liga masing-masing.