Negara sekutu Israel perlu bertanggungjawab - Mahmoud Abbas

Iklan
Mahmoud Abbas - Foto AP

RAMALLAH - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyalahkan Israel dan negara sekutunya yang menyokong tindakan kejam zionis terhadap rakyat Palestin.

Negara-negara ini, tegas Mahmoud, harus bertanggungjawab ke atas kesengsaraan rakyat Palestin.

Iklan
Iklan

Kenyataan ini dibuat dalam pertemuannya di Ramallah bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

"Kami meminta dan merayu kepada semua orang dalam saat-saat genting ini, Tuan Yang Terutama Presiden Macron dan pihak-pihak kepada Majlis Keselamatan, untuk segera menghentikan pencerobohan ini terhadap rakyat kami.

Iklan

"Kami juga meminta menyediakan perlindungan antarabangsa segera, mengadakan persidangan keamanan antarabangsa dan bergerak ke penyelesaian politik dan bukannya penyelesaian ketenteraan dan keselamatan, dengan melaksanakan penyelesaian dua negara mengikut legitimasi antarabangsa," katanya.

Beliau menggesa gencatan senjata dikuat kuasa sepenuhnya dengan koridor kemanusiaan diwujudkan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza.

Iklan

"Pada saat-saat ini apabila rakyat kita terdedah kepada pencerobohan biadab mesin perang Israel, kami menuntut gencatan senjata sepenuhnya dan pembukaan koridor kekal untuk bantuan kemanusiaan untuk membawa masuk bekalan perubatan, makanan dan menyediakan air, elektrik, bahan api serta keperluan asas lain.

"Kami menekankan penolakan pemindahan penduduk Palestin dari rumah dan tanah mereka di luar Palestin, sama ada dari Gaza atau Tebing Barat," ujarnya lagi.

Konvoi bantuan yang dibenarkan masuk ke Gaza tidak mencukupi untuk menampung keperluan keseluruhan penduduk terperangkap di wilayah itu.

Sekatan dilakukan Israel jelas penindasan kepada hak rakyat Palestin dan ia merupakan satu jenayah perang.

Menurutnya, 2.3 juta penduduk Gaza kini telah kehabisan bahan keperluan asas sejak Israel menutup wilayah itu berikutan serangan yang meletus 7 Oktober lalu. - Awani